KUALA LUMPUR – Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) hari ini mengesahkan insiden sebuah pesawat ringan milik syarikat swasta melakukan pendaratan cemas berhampiran Pelabuhan Klang hari ini.
Ketua Pegawai Eksekutif CAAM, Datuk Kapten Norazman Mahmud berkata, pesawat itu dikenal pasti jenis Piper PA-28-161 dengan pendaftaran 9M-ANA dikendalikan Kelab Penerbangan Subang melakukan pendaratan cemas di kawasan lapang berhampiran Pelabuhan Klang.
“Pesawat yang dinaiki dua orang individu telah berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang pada 2.50 petang tadi.
“Menara Kawalan Subang kemudian menerima panggilan ‘Mayday’ tepat 2.58 petang dari pesawat ringan tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Norazman,Pusat Kordinasi Menyelamat Aeronautika Kuala Lumpur (KLARCC) CAAM di Pusat Kawalan Trafik Udara Kuala Lumpur (KLATCC) telah diaktifkan 3.10 petang tadi selepas menerima maklumat itu bagi tujuan koordinasi operasi dan menyelamat.
“Siasatan akan dilaksanakan di Bawah Bahagian XXIII Peraturan-Peraturan Penerbangan Awam 2016,” katanya.- MalaysiaGazette