Pegawai pengukuasa Jabatan pengangkutan Jalan (JPJ) Pahang melakukan pemeriksaan kepada penunggang motosikal semasa operasi di Jalan Kemunting dekat Kuantan pada malam tadi.

KUANTAN – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pahang telah mengeluarkan sebanyak 14,622 notis dalam tempoh 15 hari pada Ops Khas Hari Raya Aidiladha (HRAA) 2024.

Pengarahnya, Kamarul Iskandar Nordin berkata, pihaknya telah memeriksa sebanyak 76,435 kenderaan menerusi operasi yang dilaksanakan pada 10 hingga 26 Jun lalu.

Daripada jumlah tersebut, katanya, sebanyak 8,859 kenderaan diambil tindakan di atas kegagalan mematuhi peraturan dan undang-undang keselamatan jalan raya yang ditetapkan.

”JPJ akan memfokuskan kepada tindakan penguatkuasaan yang lebih efektif dan berimpak tinggi dalam usaha meminimumkan kadar kemalangan dan kematian akibat nahas jalan raya.

”Penguatkuasaan akan diteruskan sebagai usaha proaktif untuk memantau kelancaran dan kecekapan operasi perkhidmatan pengangkutan awam bagi peningkatan keselamatan, kualiti dan keboleharapan perkhidmatan kepada pengguna,” katanya menerusi kenyataan.

Difahamkan JPJ Pahang akan meneruskan baki tiga hari pelaksanaan OPS Khas HRAA 2024 yang telah bermula 10 hingga 30 Jun 2024 itu dengan slogan ”Pandu Cermat, Sampai Selamat”.

Ops Khas HRAA 2024 ini, turut memfokuskan kepada pengesanan pematuhan syarat-syarat dan peraturan keselamatan, serta kenderaan di pandu dengan selamat berdasarkan Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) serta kaedah-kaedah di bawahnya dan Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (Akta 715).

Ops Khas itu terbahagi kepada 3 fokus penguatkuasaan dalam meningkatkan pematuhan dan keperluan untuk memperbaiki tingkah laku pemandu.

Tambah Kamarul Iskandar, seramai 141 pegawai dan anggota penguat kuasa JPJ Pahang telah dilibatkan sepanjang operasi dilaksanakan di negeri ini.

Operasi berkenaan melibatkan kerjasama daripada rakan kolaborasi strategik antaranya Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK).

JPJ Pahang turut melaksanakan pemeriksaan di tiga Terminal Bas Utama iaitu Terminal Sentral Kuantan, Temerloh dan Genting Highlands sepanjang tempoh itu bagi memastikan kelancaran, kecekapan dan kualiti operasi perkhidmatan pengangkutan awam. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here