Penganjur 'Demonstarsi Rakyat Lawan Anwar'', Aidil Yunus atau YB Viral bercakap pada media selepas memberikan keterangan di IPD, Putrajaya. Foto SYADILA AMARI, 01 JULAI 2024.

PUTRAJAYA – Perhimpunan ‘Rakyat Lawan Anwar’ tidak akan tamat di Putrajaya, ia bakal diadakan di Tambun, Perak dan beberapa Parlimen lain yang diwakili pemimpin politik negara sebelum perhimpunan terbesar diadakan pada 24 November depan.

Ketua Pergerakkan Demi Negara, Aidil Yunus berkata, selepas himpunan diadakan di Kompleks Perdana, pihaknya telah merancang beberapa lokasi himpunan lain antaranya di Bagan Datuk, Pandan, Seremban, dan Kota Raja.

“Lokasi Parlimen ini adalah antara ‘pit stop’ (persinggahan himpunan) sebelum perhimpunan pusingan kedua yang terbesar diadakan pada November nanti.

“Kita akan pergi lebih banyak tempat bermula Sabtu lalu hingga 24 November ini yang merupakan ulang tahun kedua Datuk Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri.

“Beliau boleh jangka lebih banyak yang kami akan lakukan selepas ini.  Selain himpunan jalanan, kami akan adakan forum awam dipanggil ‘Dewan Demi Negara’ dan sesi town hall,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau yakin pihaknya akan melakukan sehabis baik bagi membawa lapan tuntutan rakyat agar ia diberi perhatian oleh Kerajaan Madani.

“Sehingga kini tiada apa-apa maklum balas daripada kerajaan untuk berjumpa dengan kita untuk ambil serius berhubung perkara ini,” katanya.

Terdahulu, beliau antara 11 individu yang hadir memberi keterangan di sini sejak jam 2 petang tadi hingga 4 petang berhubung himpunan ‘Rakyat Lawan Anwar’ pada Sabtu lalu.

Antara nama lain yang turut hadir adalah Nurpais Ismail@Papa Berry; Mohd Zubir Embong; Lim Chue Har @Michelle Foo; Mohd Faizal Hassan; Shee Chee Weng (Alex).

Selain itu, Fathul Farisan Ab Rahman; Anas Abd Jalil; Muhammad Rafique Rashid Ali; Tengku Intan Tengku Abdul Hamid dan Siti Nuraliana Zulaikha Olivia.

Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner A.Asmadi Abdul Aziz berkata, kesemua mereka disiasat di bawah Seksyen 9 (5) Akta Perhimpunan Aman 2012. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here