KUALA LUMPUR – Malaysia tidak menghalang mana-mana syarikat untuk melabur di negara ini, kata Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.
Bagaimanapun katanya, Malaysia tetap tegas untuk tidak membenarkan syarikat milik Israel untuk terlibat dalam perkara berkenaan.
Katanya, ini dibuktikan menerusi tindakan kerajaan yang menyekat syarikat perkapalan ZIM milik Israel daripada berlabuh di perairan Malaysia sejak Disember lepas.
“Walaupun kita tidak menghalang mana-mana syarikat untuk melabur di negara kita tetapi tidak untuk syarikat milik Israel,” katanya pada sesi penerangan Kamar Khas berhubung penjualan saham Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) kepada Global Insfrastructure Partners (GIP), di Dewan Rakyat hari ini.
Menurut Amir Hamzah lagi, kerajaan kekal teguh dengan pendirian untuk mempertahan dan membela nasib rakyat Palestin termasuk usaha berterusan dalam membela nasib rakyat negara itu.
Katanya, peranan aktif turut dimainkan institusi di negara ini yang bersolidariti dan menyumbang untuk mangsa kekejaman Zionis.
Tambah beliau, di platform antarabangsa, Perdana Menteri dan Jemaah Menteri tidak jemu untuk berbicara dan menyuarakan gesaan kepada pemimpin dunia termasuk kuasa besar, agar kekejaman rejim Israel terhadap Palestin dihentikan segera.
“Malaysia menyuarakan ketegasan kita di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) supaya negara Palestin mendapat keanggotaan penuh,” jelasnya.
Sementara itu, dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, keputusan pengambilalihan MAHB adalah satu langkah strategik yang perlu dilaksanakan untuk memastikan Malaysia tidak ketinggalan dengan negara serantau dalam sektor penerbangan.
“Saya ingin menegaskan bahawa kepentingan negara kekal terjamin, Kerajaan akan tetap memegang saham khasnya dan keahlian dalam lembaga pengarah MAHB.
“Transaksi ini juga tidak melibatkan sebarang penjualan saham daripada Khazanah,” ujarnya. – MalaysiaGazette