NIBONG TEBAL – Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) akan memperkasa Pendidikan Islam kepada pelajar-pelajar Tabika Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas).
Menterinya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, pihaknya menyasarkan 150,000 pelajar KEMAS menjelang 2026 akan mengikuti program yang menerapkan pendidikan Al- Quran menggunakan modul Yayasan Pahang, Yayasan Pendidikan Tun Abdul Razak (PINTAR) dan Kemas sendiri.
Kata beliau, bagi guru pula mereka diberikan pendidikan awal dengan kerjasama dengan Universiti Pendidikan Sultan Idris.
“Kita lakukan satu game changer atau perubahan tentang soal pendidikan Islam ini kita mulakan di prasekolah dan tentunya untuk anak-anak muslim kita ajarkan di 10,843 tabika di seluruh negara.
“InsyaAllah menjelang tahun 2026 akan terdapat kira-kira 150,000 pelajar-pelajar atau anak-anak di tadika dan tabika Kemas ini akan mengikut kelas pratahfiz ini yang memberikan penekanan terhadap ibadah yang lain termasuk solat.
“Selain itu, program ini juga sebagai satu terjemahan bahawa Islam semakin diperkasakan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya.
Mengulas lanjut Ahmad Zahid berkata, pihaknya juga tidak mengenepikan agama dan bangsa lain yang memasuki kelas tabika dan tadika dibawah kendalian mereka.
“(Sebagai contoh) Tabika Perpaduan ada pendidikan sivik dilaksanakan,” katanya. – MalaysiaGazette