ISKANDAR PUTERI – Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) mematahkan cubaan membawa keluar ikan kerapu, merah dan jenahak tanpa permit ke Singapura di Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB), Gelang Patah di sini semalam.
MAQIS dalam satu kenyataan memberitahu, cubaan tersebut berjaya digagalkan selepas pihaknya menahan sebuah lori membawa satu tong berisi ikan hidup pukul 3.49 pagi di laluan lori eksport KSAB.
“Hasil pemeriksaan yang dijalankan Pegawai Penguat Kuasa Maqis menemukan 6 kilogram (kg) ikan kerapu, 6kg ikan merah dan 4kg ikan jenahak diletakkan bercampur dalam satu tong yang disorok di celah tong lain.
“Nilainya dianggarkan dianggarkan bernilai RM745. Mereka cuba membawa keluar ikan-ikan tersebut tanpa permit eksport MAQIS atau tanpa sebarang pengikraran yang betul dan ditahan untuk tindakan lanjut,” jelas kenyataan hari ini.
Pemandu berusia 24 tahun dan kelindan 22 tahun dilepaskan setelah diambil keterangan dan siasatan lanjut dijalankan.
Menurut kenyataan tersebut lagi, perbuatan mengeksport sebarang jenis keluaran pertanian tanpa permit eksport MAQIS adalah menjadi suatu kesalahan di bawah Seksyen 11(2) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728] yang boleh dihukum di bawah Seksyen 11(3) Akta sama.
Jelas MAQIS, jika disabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi
RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak lebih enam tahun atau kedua-duanya.
Tambah MAQIS, pihaknya sentiasa komited menjalankan penguatkuasaan di pintu masuk tersebut bagi menjamin keselamatan keluaran pertanian yang keluar dari dalam negara dan mematuhi syarat serta peraturan ditetapkan kerajaan. – MalaysiaGazette