Menteri Digital, Gobind Singh Deo. WAN NABIL WAN NASIR, 17 OKTOBER 2023.

KUALA LUMPUR – Kerajaan menerusi Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (MCMC) kini dalam proses memilih syarikat telekomunikasi untuk mengendalikan rangkaian 5G kedua yang dijangka siap hujung tahun ini.

Menurut Menteri Digital, Gobind Singh Deo, perjanjian telah ditandatangani dan ia telah selesai.

“Kini MCMC dalam langkah yang penting kerana dalam proses ini, kita dapat melihat siapa yang akan membina rangkaian 5G kedua itu nanti.

“Bagaimanapun, proses ini masih berjalan dan segala perkembangan akan kami beritahu daripada masa ke semasa,” katanya dalam Majlis Pelancaran TnG eWallet e-Mas di Hilton Kuala Lumpur hari ini.

Sebelum ini, Digital Nasional Berhad (DNB) telah mengumumkan perjanjian langganan saham (SSA) dengan empat pengendali rangkai (MNO) iaitu CelcomDigi Bhd melalui Infranation Sdn Bhd, Maxis Broadband Sdn Bhd, U Mobile Sdn Bhd dan YTL Communications Sdn Bhd melalui YTL Power International Bhd.

“Buat masa ini, tiada tarikh yang spesifik tapi kami berharap ada kemajuan memberangsangkan yang akan dapat dicapai sebelum akhir tahun ini,” kata Gobind. – MalaysiaGazette