PUTRAJAYA – Nasib jurukamera MalaysiaGazette Airulrezal Amirudin,42, yang mengalami kecederaan selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya baru-baru mendapat perhatian Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil hari ini.
Fahmi ditemani Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Berita Nasional (Bernama), Nurul Afida Kamaludin dan Ketua Pengarang Bernama, Arul Rajoo Durar Raj menziarahi keluarga Airulrezal di Apartmen Perumahan Penjawat Awam Malaysia (PPAM) Ketumbar di Presint 17, Putrajaya, di sini, pada jam 1.30 tengahari tadi.
Fahmi meluangkan masa hampir setengah jam dan menyampaikan sumbangan wang tunai dari Tabung Kasih@HAWANA dan barangan daripada Syarikat Pakaian Hari-Hari dan Aeon Big kepada juruvideo itu bagi mengurangkan beban urusan sehariannya.
Airulrezal yang menunggang motosikal cedera selepas dilanggar kenderaan pelbagai guna (MPV), Toyota Alphard semasa dalam perjalanan ke lokasi tugasan, sebuah agensi penguatkuasan.
Tulang bahu dan tulang belakangnya patah selain mengalami luka di bahagian badan.
Beliau pernah bertugas sebagai juruvideo di Bernama pada 2009 hingga 2019, di Astro Awani dari 2019 hingga 2023 sebelum menyertai Malaysia Gazette pada Jun 2023.
Fahmi berkata, Airulrezal adalah antara 111 rakan media yang menerima manfaat daripada Tabung Kasih @HAWANA sejak inisiatif itu diperkenalkan pada April tahun lalu.
“Ia diwujudkan sempena sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2023 bertujuan menyantuni wartawan dan petugas media, sama ada yang masih dalam perkhidmatan mahupun telah bersara, yang keuzuran atau memerlukan bantuan dan merupakan inisiatif Kementerian Komunikasi yang dilaksanakan menerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia.
“Saya cukup kesal dengan kejadian seperti ini kerana walaupun ia kemalangan tetapi nasib para pengamal media termasuk rakan-rakan jurukamera memang sentiasa dekat dengan hati saya yang mana selepas ini saya tidak mahu perkara ini berlaku lagi.
“Saya juga bersyukur kerana dimaklumkan Jabatan Sumber Manusia Malaysia Gazette telah memastikan semua aspek kebajikan Perkhidmatan Keselamatan Sosial (Perkeso) lengkap tanpa masalah kepada Airulrezal,” katanya.
Menurut Fahmi, sejak 1 Julai lalu, terdapat hampir 600 orang pengamal media berkhidmat sebagai stringer (wartawan sambilan) dan juga merupakan Contract for Service dan Peacemeal (pekerja sambilan) untuk Stesen Penyiaran Radio Televisyen Malaysia (RTM) mendapat manfaat Perkeso.
Perkara tersebut diumumkan pada Hawana di Kuching pada penghujung Mei lalu.
Tambah beliau, dengan adanya perlindungan untuk stringer dan peacemeal, mereka dapat bekerja tanpa mempunyai perasaan risau kerana mendapat perlindungan sosial.
Sementara itu, isteri kepada Airulrezal, Nurul Wizana Kasri merakamkan kesyukuran dan penghargaan terhadap keprihatinan menteri itu yang menziarahi suaminya.
“Saya baru pagi tadi dimaklumkan bahawa Menteri Komunikasi mahu ziarah ke rumah untuk melihat keadaan kesihatan Airul.
“Saya sangat berterima kasih ke atas kesudiannya ziarah dan peduli kesihatan suami dan menghulurkan bantuan menerusi tabung Hawana.
“Menteri juga meminta kami menghubungi beliau sekiranya memerlukan sebarang bantuan susulan dari aspek kesihatan dan kebajikan suami saya,” katanya.
Turut hadir bertanya khabar, wakil Kelab Media Putrajaya, Samantha Tan dan rakan media beberapa agensi media lain. -MalaysiaGazette