Shahidan Kassim

KUALA LUMPUR – Hujah DAP mahu menutup Tabika Kemas yang dilontarkan, Datuk Seri Shahidan Kassim (PN-Arau) mencetuskan pertikaman lidah antara blok kerajaan dan pembangkang pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Teresa Kok (PH-Seputih) menggesa Shahidan menunjukkan bukti, bila DAP menyatakan demikian sambil mendesak agar kata-kata itu ditarik balik.

Situasi bertambah tegang pada sesi petang apabila RSN Rayer (PH-Jelutong) bangkit dari tempat duduknya dan membawa peraturan mesyuarat agar Timbalan Speaker, Alice Lau bertindak terhadap Shahidan.

Teresa kemudiannya berkata, DAP tidak pernah mengatakan mahu menutup kemas sebagaimana dakwaan Shahidan.

Mendengar mengenai perkara itu, Shahidan kemudiannya membela dirinya dengan mengatakan apa yang dibangkitkan adalah perkara betul.

Alice meminta agar Shahidan menunjukkan bukti di atas tuduhannya dan dijawab oleh Shahidan ia berlaku ketika Pakatan Harapan mentadbir negara sebelum ini.

Melihat Shahidan diasak berkali-kali, Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh (PN-Besut) bangun untuk membela rakannya dengan membawa peraturan mesyuarat 36 (6) apabila memberitahu, apa yang dibangkitkan Shahidan itu tidak dituju kepada mana-mana ahli dewan.

“Tidak ada pun perkataan yang disebut ditujukan kepada ahli (Ahli Dewan Rakyat),” ujarnya.

Mendengarkan perkara itu, Rayer kemudiannya meminta agar Che Mohamad Zulkifly tidak loyar buruk.

“Kamu lagi loyar buruk, mengganggu,” kata Che Mohamad Zulkifly sambil menuding jari kepada Rayer.

Ketegangan itu berlarutan selama lapan minit dan berjaya diredakan Alice untuk meneruskan perbahasan. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast