KUALA LUMPUR — Kebocoran kimia dikesan berlaku Southern Support Zone Sepang Aircraft Engineering, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Sepang, hari ini.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Wan Md Razali Wan Ismail berkata, Pusat Gerakan Operasi Negeri telah menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 11.23 pagi tadi.
“Sebaik panggilan diterima, seramai enam pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) KLIA bersama pasukan HAZMAT dari BBP Shah Alam dikejarkan ke lokasi kejadian.
“Operasi yang diketuai Pegawai Bomba Kanan (PBK) II Muhammad Nur Khairi Samsumin memaklumkan pihaknya masih lagi mengenalpasti bahan kimia yang bocor,” katanya dalma kenyataan hari ini.
Terdahulu, tular gambar memaparkan orang ramai berkumpul di kawasan perkarangan Southern Support Zone Sepang Aircraft Engineering, KLIA didakwa berlaku kebocoran kimia.
Menurut info Sepang Viral, seramai enam orang dibawa ke hospital dipercayai terhidu bahan kimia yang bocor di tempat kejadian. – MalaysiaGazette