KUALA LUMPUR – Seorang lelaki dipercayai pengedar dadah kini diburu polis selepas merempuh empat buah kenderan di persimpangan lampu isyarat Sunway Medical Center Cheras, di sini, semalam.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, kejadian yang berlaku sekitar jam 9.40 malam itu melibatkan suspek yang menaiki sebuah kereta jenis Honda City.

“Siasatan awal mendapati, suspek telah merempuh empat buah dari arah belakang ketika sedang berhenti di persimpangan lampu isyarat berkenaan.

“Kenderaan dinaiki suspek telah melanggar kereta jenis Perodua Bezza dari sisi sebelah kanan, kemudian merempuh sebuah lagi kenderaan jenis Inokom Atos di bahagian belakang.

“Suspek juga merempuh kereta jenis Suzuki Swift dilanggar pada bahagian sisi kanan manaala kenderaan jenis Perodua Alza pada bahagian sisi sebelah kiri.

“Suspek kemudian telah memberhentikan kenderaannya di kawasan berhampiran lobi Sunway Medical Center Cheras dan melarikan diri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Rusdi, pemeriksaan awal ke atas kereta suspek menemui empat paket dadah jenis Methamphetamine, tiga Eremin 5, dua peket dadah jenis Ketamin dan tujuh biji pil Ecstacy di dalam kenderaan tersebut.

“Jumlah nilai rampasan adalah sebanyak RM10,577. Pihak polis turut merampas kenderaan yang dinaiki suspek, tiga unit telefon bimbit pelbagai jenis dan dua kad akses kediaman.

Lelaki terbabit kini merupakan suspek utama yang sedang dikesan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” jelasnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast