PUTRAJAYA – Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) mengesahkan telah menghantar laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengenai isu tidak patuh prosedur melibatkan Pembangunan Sumber Manusia Bhd (HRD Corp) hari ini.
Ketua Setiusahanya, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata, ia selaras dengan syor Ketua Audit Negara, Datuk Wan Suraya Wan Mohd Radzi agar merujuk pengurusan HRD Corp kepada agensi penguatkuasaan berkaitan.
“Laporan Audit Negara yang dibuat ini selaras dengan arahan yang diberikan Menteri Sumber Manusia, Steven Sim melalui kenyataan media yang telah dikeluarkan pada awal pagi, hari ini.
“Laporan ini berkaitan dengan isu-isu yang dibangkitkan di dalam laporan Ketua Audit Negara dan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) yang telah dibentangkan di Parlimen pada 4 Julai 2024,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Terdahulu, Khairul Dzaimee dan Ketua Eksekutif HRD Corp, Datuk Shahul Dawood tiba di ibu pejabat SPRM di sini kira-kira jam 10.54 pagi tadi, masing-masing menaiki kenderaan Toyota Camry berwarna hitam dan Proton X70 berwarna kelabu.
Semalam, media melaporkan Ketua Audit Negara dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2/2024 berkata, Kesuma disyorkan merujuk pengurusan HRD Corp kepada agensi penguatkuasaan berkaitan ekoran kegagalan syarikat kerajaan itu dalam audit yang dibuat.
Wan Suraya berkata, terdapat tindakan serta keputusan yang diambil pengurusan HRD Corp tidak mematuhi prosedur dan tidak menjaga kepentingan dalam mencapai fungsi penubuhan syarikat.
Khairul Dzaimee juga berkata, SPRM memberi jaminan kepada pihaknya bahawa siasatan kes itu akan dijalankan secara adil dan profesional.
“SPRM beri jaminan satu siasatan yang adil dan penuh profesional akan dilaksanakan segera,” katanya.
Ketika ditanya mengenai tindakan Kesuma terhadap pegawai kerajaan yang terlibat dalam siasatan itu, beliau berkata setakat ini tiada keperluan penggantungan sementara.
“Gantung sementara sekiranya ada pendengaran dalaman diberikan, baru pegawai boleh digantung sementara.
“Oleh kerana ini siasatan SPRM, tidak perlu mana-mana pegawai ditahan tugas atau digantung sementara,” katanya lagi. – MalaysiaGazette