PUTRAJAYA – Susulan laporan audit mengenai Pembangunan Sumber Manusia Bhd (HRD Corp) yang tidak patuh prosedur, Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia (Kesuma), Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud bertindak membuat laporan di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), di sini, hari ini.
Ketua Eksekutif HRD Corp, Datuk Shahul Dawood turut mengiringi Khairul Dzaimee untuk menyerahkan laporan salah laku rasuah kepada pihak berkuasa itu jam 11 pagi tadi.
Terdahulu, Khairul Dzaimee dan Shahul tiba di ibu pejabat SPRM di sini kira-kira jam 10.54 pagi tadi, masing-masing menaiki kenderaan Toyota Camry berwarna hitam dan Proton X70 berwarna kelabu yang tertera logo HRD Corp.
Terdahulu, Menteri Sumber Manusia, Steven Sim mengarahkan Ketua Setiausahanya membuat laporan kepada SPRM berhubung Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) mengenai “tidak patuh prosedur” melibatkan HRD Corp.
Sim berkata, beliau menegaskan tidak akan berkompromi dengan sebarang tindakan bertentangan undang-undang.
Sebelum itu, media melaporkan Ketua Audit Negara, Wan Suraya Wan Mohd Radzi, dalam LKAN 2/2024 berkata, Kesuma disyorkan merujuk pengurusan HRD Corp kepada agensi penguatkuasaan berkaitan ekoran kegagalan syarikat kerajaan itu dalam audit yang dibuat.
Wan Suraya berkata, terdapat tindakan serta keputusan yang diambil pengurusan HRD Corp tidak mematuhi prosedur dan tidak menjaga kepentingan dalam mencapai fungsi penubuhan syarikat. – MalaysiaGazette