ACP Raub Selamat

JOHOR BAHRU – Seorang pemilik salon berputih mata selepas kerugian RM146,020 akibat diperdaya satu sindiket pinjaman wang dalam talian yang tidak wujud pada hujung bulan lalu.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, pihaknya menerima laporan kejadian itu daripada mangsa yang merupakan seorang wanita berusia 28 tahun di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan, kelmarin.

“Kejadian bermula pada 27 Jun lalu selepas mangsa melihat iklan pinjaman wang dalam media sosial ditawarkan sebuah syarikat pinjaman wang. Mangsa telah menghubungi nombor tersebut dan dijelaskan kadar bayaran bulanan oleh pekerja syarikat tersebut.

“Mangsa berminat untuk membuat pinjaman sebanyak RM200,000 dan telah memberikan salinan butiran peribadi serta penyata akaun bank kepada suspek untuk tujuan permohonan pinjaman.

“Suspek juga telah memperdaya mangsa dengan meminta membuat pembayaran setem duti, kredit ‘scoring’ dan dijanjikan pinjaman akan diterima selepas mangsa membuat pembayaran tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, mangsa mengikut arahan suspek dan membuat pembayaran sebanyak 16 transaksi berjumlah RM146,020 ke dalam beberapa akaun bank tempatan.

Selepas pembayaran dibuat katanya, suspek mendesak untuk membuat pembayaran lagi untuk ‘meluluskan’ wang pinjaman namun mangsa enggan berbuat demikian.

“Sehingga kini mangsa masih belum menerima wang pinjaman seperti yang dijanjikan suspek,” ujar beliau dan wanita berkenaan kemudian membuat laporan polis selepas menyedari sudah ditipu.

Raub memberitahu, kes disiasat bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga maksimum 10 tahun dan sebatan serta boleh juga dikenakan denda.

Beliau menasihatkan orang ramai agar berwaspada dan tidak mudah percaya dengan tawaran pinjaman dalam media sosial dan sekiranya menjadi mangsa penipuan, hubungi National Scam Response Centre (NSRC) menerusi talian 997 dengan segera untuk tindakan awal.

Jelasnya, langkah tersebut bagi menyekat pengaliran wang keluar daripada akaun mangsa.

Tambahnya, orang ramai juga boleh melakukan semakan dalam aplikasi Semak Mule yang disediakan atas talian bagi menyemak status akaun dan nombor telefon suspek sebelum membuat transaksi pembayaran. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast