Gambar hiasan
KUALA LUMPUR – Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) menyeru penternak akuakultur untuk lebih berhati-hati dan memastikan bahawa produk makanan ikan yang dibeli adalah daripada sumber yang sah dan mempunyai pensijilan yang diiktiraf.
Ia susulan sebuah kilang kitar semula di Kuala Muda telah diserbu oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS), baru-bari ini selepas didapati memproses bahan kitar semula menjadi palet plastik dan membungkusnya menggunakan beg plastik kitar semula.
Beg pembungkusan yang digunakan adalah beg makanan ikan, yang telah menimbulkan kekeliruan dalam kalangan penternak bahawa palet plastik tersebut adalah makanan ikan.
“DOF ingin menegaskan bahawa kilang kitar semula tersebut tidak mempunyai kaitan dengan PSJ Feed Sdn Bhd, sebuah kilang makanan ikan yang sah dan beroperasi di Pulau Pinang sejak tahun 2022.
“PSJ Feed Sdn Bhd dalam proses mendapatkan pensijilan FQC (Fish Quality Certification) yang menunjukkan komitmen mereka terhadap kualiti dan keselamatan produk,” katanya dalam satu kenyataan.
Jelas DOF, siasatan akan dibuat dengan pengambilan sampel makanan di kilang PSJ Feed Sdn Bhd bagi pengesahan komposisi makanan.
Keputusan analisa sampel makanan ikan akan dikeluarkan dalam tempoh 14 hari bekerja.
Dalam masa sama, DOF memberi jaminan semua makanan ikan yang dihasilkan oleh kilang yang berdaftar dan mematuhi piawaiannya adalah selamat untuk digunakan.
Sebagai langkah tambahan, DOF akan bekerjasama rapat dengan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) dan agensi berkaitan untuk meningkatkan pengawasan terhadap operasi kilang pembuatan makanan haiwan bagi memastikan tiada bahan berbahaya digunakan dalam penghasilan makanan ikan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast