KUALA LUMPUR – Isteri bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor menafikan semua barangan mewah yang dimilikinya termasuk barang kemas dan beg tangan dibeli menggunakan wang hasil aktiviti haram atau pecah amanah.
Perkara itu dinyatakan beliau dalam pernyataan tuntutan saman 1Malaysia Development Berhad (1MDB) terhadap beliau.
Tegasnya, Mahkamah Tinggi pada 14 November 2022, menyatakan dengan jelas barangan berkenaan bukan hasil daripada penggunaan wang haram atau pecah amanah.
Mahkamah itu sebelum ini menolak permohonan kerajaan untuk melucut harta bernilai kira-kira RM80 juta didakwa hasil penyelewengan dana 1MDB selepas mendapati pendakwaan gagal membuktikan barang disita adalah hasil daripada aktiviti pengubahan wang haram.
Harta itu membabitkan 2,435 barang kemas, tujuh jam tangan dan 29 beg tangan yang disita dari sebuah unit di Pavilion Residence di sini, milik Obyu Holdings Sdn Bhd pada 17 Mei 2018.
Rosmah yang memfailkan pernyataan pembelaannya 4 Julai lalu berkata, 1MDB dan lima anak syarikat serta empat yang lain selaku plaintif sama sekali gagal untuk memperincikan apakah kononnya barangan itu diterima atau dibeli oleh beliau.
Kata Rosmah lagi, tindakan pemohon (plaintif) adalah sangat remeh dan hanya bertujuan untuk memberi tekanan kepada beliau dan berniat jahat.
“Untuk makluman plaintif, keputusan Mahkamah Tinggi pada 14 November 2022 ialah ketika kerajaan cuba melucut hak barangan dalam milikan saya melalui Jabatan Peguam Negara. Namun AGC sendiri bertindak mengembalikan sebahagian daripada barangan kemas milik saya.
“Pada 22 Ogos 2019, notis telah disiarkan dalam warta Kerajaan Persekutuan memanggil pihak ketiga yang berkepentingan ke atas harta yang disita supaya hadir di mahkamah untuk menunjukkan sebab mengapa harta itu tidak boleh dilucuthak.
“Plaintif pula gagal menghadirkan diri untuk mengemukakan bantahan ketika itu,” tegasnya.
Dalam pada itu, Rosmah juga menafikan Shabnam Naraindas Daswani adalah ejen atau proksi kepada beliau.
Sebelum ini, 1MDB telah menyaman Rosmah sebanyak AS$346 juta bersama 10 syarikat lain berhubung pembelian barangan mewah berjumlah lebih AS$346 juta, yang dikatakan diperoleh menerusi penyelewengan dana 1MDB sebelum 4 Julai.
Selain 1MDB, tuntutan mahkamah yang difailkan pada 9 Mei juga menyenaraikan lima anak syarikatnya, iaitu 1MDB Energy Holdings Limited; 1MDB Energy Limited; 1MDB Energy (Langat) Limited; Global Diversified Investment Company Limited; dan SRC International Sdn Bhd sebagai plaintif pertama hingga keenam. -MalaysiaGazette