Foto IG Sheila Majid.

KUALA LUMPUR – Penyanyi Datuk Sheila Majid membidas tindakan pihak tidak bertanggungjawab yang menyebarkan iklan kononnya dia pernah menderita arthritis atau radang sendi sehingga berkerusi roda.

Sheila atau nama sebenarnya Shaheila Abdul Majid menyifatkan paparan berita palsu yang menggunakan nama media tertentu itu juga sebagai mengarut.

“Memang mengarut, berita ini tidak benar. Lima tahun lalu, saya sibuk dengan kerja dan melancong sebelum fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

“Kalau benar saya menderita penyakit ini, tentu media tempatan sudah menyiarkan berita ini lima tahun lalu. Kenapa baru sekarang?” tulisnya dalam Instagram.

Menerusi perkongsian sama, Ratu Jazz itu juga mempersoalkan tindakan pelaku yang sanggup mempergunakan namanya demi mengaut keuntungan secara mudah.

“Kenapa perlu menipu semata-mata mahu melariskan produk? Adakah anda tidak mempunyai keyakinan hingga terpaksa mengaitkan nama saya demi menjual produk?

“Produk anda palsu, sama dengan artikel ditulis,” luahnya merujuk keratan berita yang disertakan dalam hantaran itu.

Sheila, 59, menegaskan tidak akan berdiam diri, sebaliknya akan memburu dalang yang didakwa dilakukan individu sama dan pernah memfitnahnya sebelum ini.

“Saya sedang mencari pelaku yang sebelum ini pernah menuduh saya menggunakan produk pelangsing badan namun kenyataan mereka tidak disertakan bukti.

“Sehingga kini saya masih gagal mengesan sumber terbabit. Mereka tahu cara untuk manipulasi situasi dan menyembunyikan diri.

“Saya mohon Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bantu saya mengesan mereka supaya tindakan undang-undang boleh dikenakan ke atas mereka,” katanya.

Sebelum ini nama Sheila juga pernah ‘dijaja’ di laman sosial kononnya dia meninggalkan dunia hiburan selepas pembabitan dengan satu jenama memberi keuntungan lumayan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast