KUALA LUMPUR – Merektrut individu berkemahiran membangunkan ‘software’ atau programmer, antara taktik digunakan sindiket judi atas talian bagi meraih keuntungan lumayan.
Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Asisten Komisioner Mohamad Lazim Ismail berkata, kegiatan itu terbongkar dalam serbuan berasingan di dua apartment di Jalan Tun Razak, di sini, pada 27 Jun lalu.
Katanya, serbuan di kedua-dua lokasi itu berjaya menahan 24 individu termasuk 10 wanita berusia lingkungan 24 hingga 44 tahun untuk siasatan di bawah Seksyen 4(1)(g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.
“Serbuan pertama dilakukan sekitar jam 3 pagi dengan memberkas 15 individu termasuk dua warga China, manakala serbuan kedua pada jam 3 petang dengan menahan sembilan individu termasuk tujuh China.
“Siasatan mendapati dua serbuan ini membabitkan dua sindiket berlainan yang telah aktif sejak enam bulan lalu,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju di sini hari ini.
Tambah Mohamad Lazim, serbuan ini berjaya merampas pelbagai barangan antaranya kad akses, komputer riba, telefon bimbit, ipad dan router.
Jelasnya, modus operandi sindiket itu dipercayai merekrut individu dalam kalangan ‘programmer’ dengan menawarkan gaji sekitar RM5,000 hingga RM12,000.
Beliau juga memaklumkan, semakan ke atas suspek warga China yang ditahan dikesan masuk ke Malaysia menggunakan pas pelancong.
“Programmer ini berperanan menghasilkan ‘software’ bagi laman judi online dengan menyasarkan pembeli atau pemain di luar negara.
“Difahamkan, sindiket ini berselindung di sebalik syarikat yang sah menawarkan caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan beroperasi dari Isnin hingga Jumaat,” ujarnya sambil memberi amaran keras agar tidak terlibat dengan sebarang kesalahan jenayah.
Orang ramai disaran untuk salurkan maklumat di Hotline Polis Kuala Lumpur 03-21159999 atau hotline Polis Wangsa Maju 03-92899222 atau mana-mana balai polis berhampiran. – MalaysiaGazette