KUALA LUMPUR – Suspek yang terlibat memecahkan cermin enam kereta yang diparkir di tepi jalan kawasan LRT Awan Besar, Bukit Jalil, Kuala Lumpur masih bebas.
Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Ravindar Singh A/L Sarban Singh berkata, pihaknya menerima laporan kes tersebut pada 2 Julai 2024 bermula jam lebih kurang 9.20 pagi.
Hasil semakan mendapati kesemua enam kereta itu telah diparkir oleh pemilik kenderaan pada 1 Julai lalu bermula jam lebih kurang 3 petang di tepi jalan kawasan LRT Awan Besar, Bukit Jalil, Kuala Lumpur.
“Beberapa bahagian cermin kereta telah dipecahkan oleh suspek yang masih bebas sebelum disedari oleh pemilik kenderaan pada keesokan hari. Kes disiasat dibawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan dan siasatan terperinci sedang dilakukan berhubung kejadian ini,” katanya.
Ravindar berkata, pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana orang yang gagal mematuhi undang-undang negara dan tindakan tegas akan diambil agar masyarakat sentiasa berada di dalam keadaan aman dan tenteram.
Sekiranya mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian ini, orang ramai boleh menghubungi Hotline Polis Cheras di talian 03-9284 5050/ 5051, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana Balai Polis yang berdekatan. – MalaysiaGazette