KUALA LUMPUR – Tiga lelaki tempatan ditahan dipercayai aktif dalam kegiatan mencuri motosikal di sekitar Taman Ibu Kota Setapak, dekat sini.
Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Asisten Komisioner Mohamad Lazim Ismail berkata, kesemua suspek berusia antara 21 hingga 28 tahun itu dicekup secara berasingan dalam Op Lejang Khas pada 26 Jun lalu.
“Susulan daripada tangkapan itu, kita berjaya merampas empat motosikal jenis Yamaha 135LC dan sebuah motosikal jenis Honda termasuk beberapa komponen motosikal jenis Yamaha 125zr.
“Hasil semakan mendapati, kesemua suspek mempunyai rekod jenayah lampau pelbagai kesalahan,” jelasnya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju di sini, hari ini.
Tambah Mohd Lazim, susulan tangkapan itu polis berjaya menyelesaikan sebanyak empat kes kecurian motosikal yang dilaporkan di sekitar kawasan Wangsa Maju.
Jelasnya lagi, kesemua suspek masih direman untuk bantu siasatan lanjut di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan. – MalaysiaGazette