Umai atau Ummi Umairah Saiful Anuar baru berusia 13 tahun.

KUALA LUMPUR – Anak saudara kepada penyanyi Datuk Seri Siti Nurhaliza berjaya mengharumkan nama negara apabila merangkul pingat emas di 2024 Junior Champion Vocalist di pertandingan antarabangsa World Championships of Performing Arts (WCOPA) Ke-27 di Los Angeles, Amerika Syarikat.

Umai atau Ummi Umairah Saiful Anuar, 13, berjaya menewaskan empat lagi finalis lain termasuk dari Emiriah Arab Bersatu dan Afrika Selatan selepas cemerlang melontarkan vokal menerusi lagu berjudul A Natural Woman nyanyian asal Aretha Franklin.

Kemenangan itu turut dikongsi Siti atau Siti Nurhaliza Tarudin, 45, yang meluahkan rasa bangga dan mengucapkan tahniah kepada Umai kerana berjaya membawa pulang pingat emas dan mengharumkan nama negara.

“Alhamdulillah, tahniah Umai berjaya bawa pulang pingat emas dan harumkan nama negara,” katanya menerusi sebuah hantaran yang dimuat naik di Instagram miliknya.

Sebelum itu, Siti dilihat teruja memuat naik video anak saudaranya itu membuat persembahan dengan baik.

Penyanyi lagu Bukan Cinta Biasa itu turut memuji persembahan peserta lain yang disifatkan sebagai pesaing sengit Umai.

Untuk info, pada saringan pertama Umai bersaing dalam lima kategori iaitu Kontemporari, Terbuka, R&B, World dan Variety sebelum berjaya melangkah ke peringkat separuh akhir menerusi kategori R&B.

Umai kemudiannya mara ke peringkat akhir bagi kategori 13 hingga 15 tahun. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast