Logo Pusat Pungutan Zakat-Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) di Kuala Lumpur. Foto FAREEZ FADZIL, 01 APRIL 2022.

Oleh: Prof Madya Muhammad Ikhlas Rosele

ZAKAT harta adalah satu kewajipan yang perlu ditunaikan oleh umat Islam, hal ini sememangnya tidak dinafikan bahkan merupakan kefahaman yang daruri bagi umat Islam untuk mengetahuinya sebagai salah satu daripada rukun Islam yang lima. Zakat harta adalah satu kewajipan ke atas harta tertentu dengan kadar tertentu untuk dikeluarkan kepada golongan tertentu dengan memenuhi syarat-syarat yang khusus. Pada kebiasaannya, zakat harta dalam amalan di Malaysia meliputi zakat pendapatan, zakat perniagaan, zakat saham, zakat emas dan perak, zakat ternakan dan zakat hasil tanaman. Namun begitu, penentuan zakat tidak terhad setakat itu kerana beberapa syarat bagi sesuatu harta itu perlu dipenuhi seperti mencukupi nisab, melalui tempoh setahun, di bawah pemilikan sempurna dan melebihi keperluan asas.

Penentuan harta yang dikenakan zakat sebenarnya tidak terhad kepada harta-harta yang telah disebutkan. Bahkan, para ahli fiqh sering membahaskan zakat-zakat bagi harta yang lain seperti zakat bagi simpanan KWSP, zakat penternakan rusa, zakat syarikat dan zakat aset digital. Ini berikutan terdapat ciri persamaan ataupun asas yang mendasari kewajipan zakat bagi harta tersebut. Hal ini mempunyai sokongan, walaupun zakat merupakan ibadah harta yang pada asasnya tidak boleh diqiyaskan atau berlaku ijtihad. Namun perlu difahami bahawa zakat bukan hanya sifatnya sebagai ibadah, zakat juga merupakan hak yang wajib ditunaikan untuk kemaslahatan manusia, ia merupakan sebahagian daripada sistem kewangan, sosial dan ekonomi. Kerana itulah pendekatan ijtihad boleh teraplikasi dalam menyelesaikan isu-isu zakat. Justeru itu, asas-asas yang mendasari hukum zakat boleh diterokai untuk menjustifikasikan kedudukan zakat bagi harta yang baharu.

Akan tetapi, perbincangan mengenai asas ini masih menjadi polemik dalam kalangan ulama hukum Islam terutamanya dalam membincangkan adakah sifat berkembang bagi sesuatu hart aitu boleh dijadikan asas kewajipan zakat. Jika diteliti dalam sebahagian karya ulama fiqh dari mazhab yang empat, tidak ada yang jelas menyatakan sifat berkembang atau subur (al-nama’) bagi sesuatu harta merupakan asas utama kewajipan zakat, melainkan mereka menyebutnya sebagai syarat, sebab wajib, asas pertimbangan, hikmah dan sifat yang diiktiraf dalam hukum zakat. Walaupun begitu, dalam karya ulama kontemporari, perbahasan sifat berkembang dan subur bagi sesuatu harta itu diterima sebagai asas utama dalam mewajibkan zakat sehingga ada yang menyatakan bahawa “setiap harta yang subur itu ia dipertanggungjawabkan untuk dizakatkan.”

Dalam wacana ini, terdapat sebahagian mereka berpandangan asas utama kewajipan zakat adalah kaya bukannya berkembang. Perkara ini jelas kerana terdapat di antara mereka yang menyatakan ”zakat itu bersekitar pada sifat kekayaan dari sudut ada dan tiada”. Walaupun kedua-dua sifat ini boleh diterima sebagai asas zakat pada umumnya, akan tetapi terdapat persoalan timbul apabila menjadikan sifat kaya sebagai asas zakat harta. Sifat kaya bukanlah sifat harta, kerana kekayaan (al-ghina) tidak dijadikan sifat untuk harta, tetapi dia sifat kepada manusia. Justeru itu, ia tidak boleh menjadi asas kepada penentuan harta untuk dizakatkan. Bahkan, jika diamati dalam hadis Nabi SAW yang bermaksud “(zakat itu) diambil daripada yang kaya dari kalangan mereka dan diserahkan kepada orang fakir dari kelangan mereka” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim), jelas kekayaan itu disifatkan kepada manusia, iaitu manusia yang kaya. Tambahan pula perbincangan zakat harta sememangnya fokus diberikan lebih pada keadaan harta berbeza dengan zakat fitrah yang fokusnya adalah kepada individu sehingga dinamakan sebagai zakat al-abdan.

Jadi untuk menentukan manusia yang kaya dalam konteks zakat adalah mereka yang memiliki harta yang subur dengan pemilikan sempurna, mencukupi nisab dan telah melalui haul setahun. Selain itu, sifat kekayaan ini tidak memenuhi syarat illah terutama dari sudut sifat zahir dan sifat yang konsisten. Contoh mudah, seseorang yang kaya itu tidak semestinya memiliki harta yang mencukupi nisab, boleh jadi orang yang memiliki wang dengan jumlah RM15,000 dianggap kaya, namun tidak wajib dizakatkan kerana tidak mencukupi nisab, ataupun dia memiliki RM30,000 yang mencukupi nisab dan dianggap kaya, akan tetapi tidak dikenakan zakat kerana tidak atau belum melalui tempoh haul setahun. Justeru dalam konteks ini, kekayaan selain dia bukan sifat yang zahir, dia juga tidak konsisten untuk menjadi illah zakat harta,

Berbeza dengan sifat berkembang dan subur (al-nama’), sifat ini sememangnya boleh dikaitkan dengan harta, sama ada secara hakiki atau taqdiri (potensi untuk subur) atau dari sudut fizikal harta, nilai dan manfaatnya. Semua sudut ini boleh menzahirkan sifat al-nama’. Bahkan jika disemak dalam wacana fiqh dapat dipastikan bahawa setiap harta yang dizakatkan mempunyai sifat berkembang dan subur dan harta yang tidak dikenakan zakat pula tidak wujud sifat tersebut atau telah ternafi. Begitu juga jika diamati setiap syarat wajib zakat seperti pemilikan sempurna, cukup nisab dan melalui tempoh haul adalah menjamin kedudukan sifat berkembang dan subur bagi harta zakat.

Walaupun begitu, bukanlah tujuan perbincangan ini untuk menjelaskan sifat berkembang dan subur itu merupakan asas utama zakat, melainkan untuk menjelaskan bahawa kedudukannya adalah jelas dalam perbahasan zakat harta. Oleh itu, kajian yang lebih mendalam dan pertimbangan wajar dalam aspek ini perlu diberikan dalam penentuan zakat. Boleh juga disimpulkan bahawa sifat berkembang dan subur pada harta boleh dijadikan asas utama dalam zakat, jika tidak dijadikan sebagai sifat utama, ia boleh dijadikan sebahagian asas-asas utama zakat di samping pemilikan sempurna, mencukupi nisab dan melalui haul (boleh dikaitkan dalam perbincangan ‘illah murakkabah atau syibh al-‘illiyah). Dengan penekanan ini, maka banyak harta-harta baharu juga boleh dikaji untuk dizakatkan dalam hukum Islam.

Penulis dari Jabatan Fiqh dan Usul, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast