Mayat lelaki asing ditemui tepi jalan besar sekolah agama di Telok Panglima Garang Kuala Langat Jumaat lalu. IPD Kuala Langat

KUALA LUMPUR – Polis menemukan mayat seorang lelaki dengan kesan kecederaan di kepala dalam keadaan terbaring di tepi jalan utama sebuah sekolah di Telok Panglima Garang , Banting Kuala Langat dalam kejadian kelmarin.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd Nor berkata, pada Jumaat lalu jam lebih kurang 8.20 malam pihak bilik gerakan IPD Kuala Langat telah menerima panggilan orang awam yang memberitahu ada terjumpa satu mayat terbaring di Jalan Besar Sekolah Rendah Agama Telok Panglima Garang di Jalan Telok Mengkuang.

“Siasatan awal yang telah dijalankan di tempat kejadian oleh polis mendapati satu mayat lelaki dipercayai warganegara asing ditemui dalam keadaan terbaring di tepi jalan.

“Pemeriksaan fizikal keatas tubuh badan si mati mendapati terdapat kesan kecederaan di bahagian belakang kepala yang disyaki akibat tergelincir dan terkena penjuru longkang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau, siasatan juga mendapati ada kesan tompokan darah di dalam longkang berdekatan lokasi kejadian.

Katanya, hasil siasatan pihak Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di tempat kejadian mendapati kecederaan di belakang kepala simati adalah disebabkan objek tumpul yang disyaki akibat kesan terjatuh ke atas batu.

“Pemeriksaan juga telah dibuat di sekitar lokasi kejadian tetapi tidak menjumpai sebarang objek yang mencurigakan.

“Hasil siasatan lanjut mendapati tiada sebarang unsur jenayah pada badan simati itu dan pihak polis mengklafikasikan kes ini sebagai Laporan Kematian Mengejut (SDR),” ujarnya. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast