Mohamad Hasan
Mohamad Hasan

SEREMBAN – Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan mengesahkan Malaysia telah menyerahkan nota diplomatik kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi menegaskan kedaulatan negara ini, susulan tuntutan Filipina terhadap Sabah.

Beliau berkata nota diplomatik itu juga turut menjelaskan kedaulatan negara yang merangkumi Sabah dan Sarawak seperti termaktub dalam Perlembagaan.

“Kita belum ada (terima) perkembangan … sebab Filipina membuat nota, kita pun buat nota. Ini hubungan diplomatik. Kita buat nota juga kepada PBB kerana ada nota dari Filipina menyatakan bahawa mereka mengambil kira sempadan laut dari Sabah.

“Bermakna mereka kata Sabah itu mereka punya … jadi, kita buat nota bantahan kepada PBB kerana penubuhan Sabah, kemerdekaan Sabah dan Sarawak dalam pembentukan Malaysia dibuat secara teratur, tersusun dan semua pemimpin bersetuju dan diperakui PBB,” katanya kepada pemberita.

Mohamad yang juga Timbalan Presiden UMNO berkata demikian selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Rembau di sini hari ini.

Beliau berkata, Malaysia ialah sebuah negara merdeka terdiri daripada Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak yang bergabung menjadi Malaysia yang berdaulat dan berharap pertikaian mengenai Sabah itu tidak menjejaskan hubungan diplomatik antara kedua-dua negara.

Media antarabangsa melaporkan, Malaysia menyerahkan nota diplomatik kepada Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres bagi menyatakan bantahan sekali gus menolak tuntutan Filipina terhadap Sabah.

“Pekara ini biarlah diputuskan di peringkat antarabangsa, kemungkinan sampai ke Mahkamah Antarabangsa, itu terpulang. Malaysia sebuah negara berdaulat, tiada siapa sewenang-wenangnya mengatakan bahawa satu daripada wilayah Malaysia itu merupakan wilayah mereka,” kata Mohamad.- BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast