JOHOR BAHRU – Seorang lelaki yang menunggang motosikal berkuasa tinggi maut selepas melanggar sebuah kereta yang mengubah lorong secara tiba-tiba di Jalan Lingkaran Dalam di bandar raya ini semalam.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, kejadian pada jam 4.05 petang menghala ke Bangunan Sultan Iskandar itu melibatkan motosikal jenis SRK 600 RC ditunggang mangsa dan Perodua Viva.
“Mangsa lelaki warga tempatan berusia 20-an merupakan juruteknik mesin di Singapura
mengalami kecederaan parah di kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
“Pihak polis membuka kertas siasatan ke atas kemalangan yang membabitkan Perodua Viva yang dipandu oleh lelaki warga tempatan berusia 40-an yang bekerja sebagai penghantar barang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Terdahulu tular video papan pemuka berkaitan kemalangan berdurasi 34 saat yang memaparkan Perodua Viva terbabit secara tiba-tiba menukar haluan sehingga menyebabkan motosikal tidak dapat mengelak dan berlaku kemalangan.
Raub berkata, semasa kejadian Perodua Viva terbabit dari arah Skudai ke Permas Jaya, setiba di lokasi telah ubah haluan dari lorong kanan ke kiri yang menyebabkan motosikal mangsa tidak sempat mengelak lalu melanggar bahagian depan kiri kereta terbabit.
“Pelanggaran tersebut menyebabkan mangsa tercampak pada bahu kiri jalan mnakala pemandu kereta tidak mengalami kecederaan,” katanya.
Menurut Raub, hasil ujian saringan air kencing mendapati pemandu kereta bebas daripada sebarang jenis dadah.
Beliau memberitahu, pemandu terbabit ditahan dan direman empat hari.
Kes berkenaan katanya ,disiasat dibawah seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu menyebabkan kematian kerana memandu secara melulu dan merbahaya. – MalaysiaGazette















