KUALA LUMPUR – Veteran UMNO Malaysia memberi amaran supaya tidak ada mana-mana pihak menyalahkan UMNO berikutan kekalahan calon kerajaan Dr Joohari Ariffin dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap.
Setiausahanya, Datuk Mustapha Yaakub berkata, jentera UMNO dari Pulau Pinang, Kedah dan Perak telah turun ke Sungai Bakap untuk membantu Joohari daripada Pakatan Harapan untuk mencapai kemenangan.
Malah, Veteran UMNO termasuk beliau turut berkampung selama 10 hari dan terlibat dengan program di semua lapan daerah pusat mengundi.
“Kita telah buat yang terbaik untuk memujuk ahli UMNO supaya mengundi calon PH. Tapi keputusan berada di tangan mereka dan kita akur dengan pilihan mereka.
“Mengikut persefahaman sebelum penamaan calon, semua parti dalam Kerajaan Perpaduan akan menumpukan kempen di kawasan masing-masing.
“UMNO telah menyusun dan menggerakan jenteranya bagi mempastikan 5,000 ahlinya keluar mengundi PH. Kami telah berkerja seperti calon yang bertanding itu calon UMNO. Tapi malangnya keputusan di sebaliknya,” kata beliau dalam kenyataan.
Dalam kenyataan sama, Mustapha mendakwa pemimpin DAP gagal mendekati pengundi Cina pada PRK Sungai Bakap.
Katanya, pihaknya dimaklumkan ada kalangan pengundi Cina tidak tahu PRK sedang berlangsung dan ada yang memberitahu mereka tidak mahu keluar mengundi tanpa menyatakan sebab.
“Ia terbukti hanya 47 peratus pengundi Cina yang keluar mengundi. Kita tidak mahu menyalahkan mana-mana pihak. Kita tidak mahu menjadi pahat yang berbunyi setelah rumah siap. Tapi yang pasti ada sesuatu yang tidak betul.
“Yang menghairankan kenapa orang Cina yang menghadiri majlis makan malam bersama Ahli Parlimen DAP Kepong pada malam keputusan PRK itu bertepuk tangan apabila Lim Lip Eng mengumumkan calon PN menang?.
“Mesti ada yang tidak kena. Perlu diingat DAP adalah rakan lama PKR dalam PH,” katanya dalam kenyataan.
Tambah Mustapha, Veteran UMNO berpandangan keputusan PRK Sungai Bakap akan memberi kesan besar terhadap PRK DUN Nenggiri.
Beliau meramalkan UMNO akan berdepan dengan cabaran yang sukar untuk memenangi DUN tersebut dan jentera UMNO perlu berkerja kuat walaupun majoriti yang diperoleh Perikatan Nasional dalam PRU yang lalu hanya 810 undi.
Malaysia Gazette hari ini melaporkan perkongsian Lim Lip Eng menerusi platform X yang mendakwa kekalahan Joohari disambut dengan tepuk tangan oleh hadirin pada satu majlis jamuan makan.
Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli Ramli dalam X menyatakan 70 peratus pengundi Melayu, Cina (47 peratus) dan India (58 peratus) melaksanakan tanggungjawab mereka pada PRK yang berlangsung semalam.- MalaysiaGazette
















