KUALA LUMPUR – Kegagalan mengetengahkan formula yang ampuh bagi memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap telah menyebabkan calon Kerajaan Perpaduan Dr. Joohari Ariffin tewas.
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Dr. Muhammad Akmal Saleh berkata, ‘raja formula’ telah gagal memimpin kemenangan di DUN Sungai Bakap dan mengingatkan pemimpin supaya tidak sombong.
Dalam kenyataan yang ringkas, Dr. Muhamad Akmal yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Merlimau mengucapkan tahniah kepada rakyat Sungai Bakap.
“Formula bahlol dan bodoh dari raja formula telah mendatangkan hasil di sungai bakap. Tahniah rakyat Sungai Bakap. Pemimpin jangan sombong dengan rakyat,” katanya dalam perkongsian di Facebook.
Dr. Muhammad Akmal bagaimanapun tidak menamakan individu yang disifatkan sebagai ‘raja formula’.
Media sebelum ini melaporkan, Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli menegaskan yang beliau tidak ambil peduli terhadap sindiran beberapa pihak yang menggelarnya sebagai raja formula.
Beliau yakin, rakyat hari ini sudah bijak menilai dan yang menjadi keutamaannya ketika ini adalah menyelesaikan masalah rakyat.
“Sebenarnya saya tak pernah ambil kisah kerana saya yakin pengundi cerdik. Saya sedar satu-satunya mainan pembangkang adalah raja formula.
“Mereka (pembangkang) tak sedar yang pengundi bandingkan menteri dan pemimpin kerajaan yang berterusan ada idea berbanding dengan bekas menteri atau pembangkang yang kerjanya hanya pandai menyindir, tetapi tiada satu idea pun untuk menambah baik keadaan rakyat.
“Kita juga tahu perkara yang mereka ungkit berkenaan formula itu adalah perkara 10 ke 15 tahun lalu yang mana keadaannya berbeza pada masa sekarang,” katanya.
Rafizi antara pemimpin Pakatan Harapan yang turun berkempen untuk calon Kerajaan Perpaduan Dr Joohari Ariffin.
Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid merupakan Pengarah Pilihan Raya PH PRK DUN Sungai Bakap
Pada PRK itu, Perikatan Nasional mengekalkan status quo di Sungai Bakap selepas calonnya, Abidin Ismail menang dengan majoriti 4,267 undi setelah menewaskan Joohari.
PRK DUN Sungai Bakap diadakan susulan kematian penyandangnya, Nor Zamri Latiff yang juga Yang Dipertua Pas Nibong Tebal, pada 24 Mei lepas akibat keradangan dalam perut.-MalaysiaGazette















