Yong Siew Fung melafazkan syahadah yang dipimpin Amir Sarifudin Mansor (kanan) sambil disaksikan oleh Zolkifly Md. Lazim (kiri).

GEORGE TOWN – Bagi Yong Siew Fung, 40, zikir yang selalu didengari dari kawan-kawan beragama Islam menjadikannya tenang terutama apabila ketika menghadapi masalah.

Malah daripada alunan zikir tersebut, Siew Fung perlahan-lahan mengikutinya secara diam-diam dan ia menjadikan perasaannya semakin tenang.

Akhirnya, setelah beberapa tahun mengikuti zikir tersebut, dia semakin faham erti setiap maksud dan mengambil keputusan mengucapkan dua kalimah syahadah untuk memeluk Islam sempena Maal Hijrah.

“Saya mendengar kawan-kawan wanita beragama Islam selalu berzikir dan solat. Bila mendengarnya hati saya tenang. Perlahan-lahan saya turut ikuti kawan-kawan berzikir secara diam-diam dan hati ini rasa bertambah tenang lagi.

“Hari ini (semalam) sempena Maal Hijrah, saya mengambil keputusan untuk bersyahadah. Hati saya kini semakin tenang,” katanya yang bekerja di sebuah kedai elektrik.

Siew Fung bersyahadah di bawah program ‘Syahadah Jayakan Maal Hijrah’ anjuran Persatuan Infaq Kebajikan Umah Takaful Pulau Pinang (IKUT) yang diketuai penaungnya, Zolkifly Md. Lazim.

Wanita itu melafazkan syahadah di hadapan Komtar yang dipimpin oleh bekas Pengarang Berita Utusan Malaysia, Amir Sarifudin Mansor.

Menceritakan perjalanan hidupnya, Siew Fung berkata, sebaik sahaja dilahirkan di dunia ini, ibunya meninggal dunia.

Bapanya pula telah berkahwin lain sebelum meninggal dunia pada tahun lalu.

“Memang saya tidak mengenali ibu kandung saya malah kuburnya saya tidak tahu di mana kerana tiada siapa yang hendak beritahu, Saya juga tidak mempunyai adik-beradik kandung, yang ada adik-adik tiri,” katanya yang tinggal menyewa di sebuah bilik.

Menurutnya, setelah berkahwin pada 2016, pelbagai masalah mula timbul menyebabkan dia berpisah dengan suami.

Sehingga kini dia tidak menemui suaminya dan mendapat tahu terdapat orang ketiga.

“Tapi semua yang berlaku ada hikmahnya. Kini hati saya lebih tenang kerana zikir dan sebaik sahaja melafazkan syahadah pada Maal Hijrah,” katanya yang bercadang memilih nama ‘Suzana’ sebagai nama baharunya nanti.

Sementara itu, bagi Ng Ching Hwa, 54, pula, dia banyak merantau hingga ke Kuala Lumpur dengan bekerja sebagai buruh binaan.

Ng Ching Hwa (kanan) melafazkan syahadah yang dipimpin oleh Zolkifly Md. Lazim.

“Saya sudah lama ingin peluk Islam sejak merantau hingga ke ibu negara tetapi tidak tahu cara yang betul. Akhirnya, baru-baru ini saya bertemu seorang rakan yang telah memeluk Islam. Dari situ saya mendapat maklumat lebih lanjut mengenai Islam.

“Pada Maal Hijrah ini, saya lafazkan syahadah sebagai pengakuan saya adalah seorang muslim.

“Ini merupakan hijrah saya. Hati saya turut tenang selepas mengucap dua kalimah syahadah,” katanya melafazkan syahadah yang dipimpin oleh Zolkifly.

Sementara itu, Zolkifly berkata, sempena Maal Hijrah, pihaknya merancang beberapa program termasuk ‘Syahadah Jayakan Hijrah’.

“Hari ini (semalam) kita berjaya kumpulkan lebih 20 orang mualaf bagi meraikan Siew Fung dan Ching Hwa yang baharu sahaja memeluk Islam.

“Ini bagi membolehkan mereka mengenali antara satu sama lain. Kita juga mahu mereka memahami dan menghayati apa itu Maal Hijrah,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast