Mohd. Naim Mokhtar

KUALA LUMPUR – Mutakhir ini terdapat pihak secara terbuka menyebar ajaran yang sesat dan menyeleweng daripada akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ) dengan pelbagai bentuk penghinaan kepada agama Islam melalui media sosial.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar menjelaskan, fenomena itu sekiranya tidak dibendung akan mengancam akidah umat Islam.

Malah ia boleh menimbulkan ketidakharmonian serta mengganggu ketenteraman masyarakat secara keseluruhannya dalam negara ini.

“Menjadi tanggungjawab dan peranan pihak berwajib merangka, menyusun dan melaksana program dan aktiviti yang boleh menyuburkan lagi pengukuhan akidah umat Islam selaras akidah Ahli Sunnah wal Jamaah.

“Akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah sewajibnya dijiwai dan dipahat kukuh dalam sanubari segenap lapisan masyarakat khususnya generasi muda supaya mampu menjadi generasi yang rabbani.

“Amat mustahak kepada agensi hal ehwal Islam untuk bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan lain-lain pihak untuk memperkukuh kekuatan dan strategi.

“Ini bagi memastikan kita dapat menangkis dan mematahkan serangan dan dakyah untuk menghancurkan kekuatan akidah umat Islam. Undang-undang yang berkaitan ancaman ke atas akidah umat Islam harus diperkasakan dan aspek penguatkuasaan perlu dipertingkatkan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan pada Konvensyen Akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah Peringkat Wilayah Persekutuan bertemakan ‘Merungkai Rahsia Di Sebalik Fenomena Akhir Zaman’, di Dewan Syarahan Masjid Negara hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Kesatuan Ulama Sedunia, Prof Dr Ali Muhyiddin Ali Qaradaghi yang turut memberikan ucaptama pada majlis berkenaan.

Mohd Na’im berkata, perkara berkaitan pembanterasan ajaran sesat juga adalah sebahagian titah Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dalam Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan.

“Baginda bertitah, agensi kerajaan digesa meningkatkan penguatkuasaan terhadap kandungan ajaran sesat serta menyediakan satu pusat rujukan agama untuk menyebarkan ilmu dan maklumat yang tepat.

“Titah ini perlu dilaksanakan dengan bersungguh-sungguh oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bersama Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dan seluruh pihak berkuasa agama Islam negeri-negeri.

“Pada masa sama, masyarakat juga perlu didedahkan dengan kewujudan fatwa-fatwa berkaitan ajaran salah yang telah diwartakan,” katanya.

Beliau berkata, kriteria dan modus operandi ajaran sesat perlu disebarkan untuk maklumat awam supaya masyarakat dapat mengenal pasti dan mengelak daripada terjebak selain melindungi keutuhan akidah serta keharmonian sosial.

“Ini semua adalah bagi memastikan sebarang cubaan untuk mengganggu gugat akidah umat Islam dapat dikekang dan dipatahkan.

“Jadikanlah apa yang kita perjuangkan hari ini sebagai jihad fisabillah untuk mempertahankan kesucian akidah Islam dan semoga menjadi jariah serta kebaikan setelah ketiadaan kita kelak,” katanya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast