Poster yang menjelaskan bagaimana jangkitan H5N1 boleh berlaku. Sumber: Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit

PHNOM PENH- Seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun dari Wilayah Takeo di selatan Kemboja disahkan dijangkiti selsema burung H5N1, menjadikan jumlah kes kepada tujuh sejak awal 2024, kata Kementerian Kesihatan dalam satu kenyataan pada Isnin.

“Pesakit mengalami demam dan merupakan sepupu kepada seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun yang didapati positif dalam ujian virus itu pada 5 Julai,” kata kementerian itu, sambil menambah kedua-dua mangsa tinggal di rumah yang sama di Kampung Pou di Daerah Kiri Vong.

“Kira-kira 10 hari sebelum kanak-kanak perempuan itu jatuh sakit, ayam dan itik di kampung telah mati dan keluarga pesakit memasaknya sebagai makanan, dan pesakit telah mempunyai hubungan langsung dengan ayam yang mati,” katanya.

Antara tujuh kes H5N1 yang melibatkan manusia setakat tahun ini adalah enam kanak-kanak, salah seorang daripadanya meninggal dunia, dan seorang dewasa. Semua pesakit dilaporkan mempunyai sejarah pendedahan terkini kepada unggas yang sakit atau mati sebelum jatuh sakit.

Selsema H5N1 adalah selesema yang biasanya merebak antara unggas yang sakit, tetapi kadangkala boleh merebak dari unggas kepada manusia, dan simptomnya termasuk demam, batuk, hidung berair, dan penyakit pernafasan yang teruk.

Kementerian itu berkata selsema burung masih menimbulkan ancaman kepada kesihatan manusia, terutamanya kanak-kanak, sambil menggesa orang ramai untuk tidak memakan unggas yang sakit atau mati.

Dari tahun 2003 hingga kini, terdapat 69 kes jangkitan manusia dengan selsema H5N1, termasuk 42 kematian di negara Asia Tenggara itu, menurut kementerian berkenaan.

 

— BERNAMA-XINHUA

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast