KUALA LUMPUR – Kenyataan Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli yang tidak beralas dalam berkata-kata ketika berceramah pada hari terakhir kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap baru-baru membuktikan dirinya ‘lowclass’, kata Datuk Razali Idris.
Razali yang juga Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkat,a Rafizi membuktikan bahawa kerajaan perpaduan masih mempunyai kepimpinan yang tidak peka kepada rakyat.
“Malaysia sudah tidak mampu lagi mempunyai mentaliti low class seorang Ahli Parlimen, Ahli Politik dan Menteri Kabinet Madani seperti Rafizi.
“Rakyat berasakan muak, mual dan terhina apabila berterusan diterjemahkan sikap mencerca, angkuh, sombong daripada seorang Menteri apatah lagi berseteru pula dengan rakyat.
“Inilah punca-punca besar yang dikatakan politik kebencian yang dicanang-canangkan oleh PMX (Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim),” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Rafizi ketika kempen hari terakhir PRK DUN Sungai Bakap dilaporkan menggelarkan pengkritik beliau sebagai ‘bahlol’ dan ‘bodoh’ kerana mempersoalkan ‘formula’ kerajaan perpaduan dalam menyelesaikan isu ekonomi.
“Dia duk tanya, kamu raja formula, mana formula kamu? Memang bahlol. Formula tengah jalanlah bodoh,” kata menteri ekonomi itu semasa ceramah pada 5 Julai lalu,” kata Rafizi seperti dilaporkan media sebelum ini.
Bagaimanapun ungkapan itu dilihat memakan diri apabila Pakatan Harapan tewas di kerusi berkenaan.
Malah Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh turut menyindir Rafizi susulan kekalahan PKR pada PRK tersebut.
Dalam pada itu, Razali berkata rakyat sudah sukar untuk mempercayai kata-kata ‘Raja Formula’ tersebut kerana sering mengetengahkan formula berhubung penurunan harga bahan api negara ketika menjadi pembangkang sebelum ini.
“Bagaimana rakyat nak percaya politik kebencian disebarkan oleh pembangkang tetapi sangat jelas daripada parti PKR dan kerajaan Madani kononnya.
“Malaysia sangat memerlukan kepimpinan negarawan yang tulen, ikhlas dan tidak kuat membohong,” katanya lagi. – MalasyiaGazette