SECARA tradisinya, penilaian homestay (inap desa) menumpukan kepada atribut produk semata-mata namun kini ia telah beralih kepada pelancongan pengalaman yang lebih personal dan unik. Pelancong ingin merasai suasana yang berbeza dan menarik, mewujudkan kenangan yang tidak dapat dilupakan. Hal ini memberi dorongan kepada keperluan untuk menaik taraf dan memperbaiki kualiti homestay yang sedia ada.
Salah satu unsur penting dalam menaiktaraf homestay adalah penggunaan produk ‘ambience’. Ambience bukan sekadar berkaitan dengan rekabentuk dalaman yang
menarik, tetapi juga meliputi aspek-aspek seperti pencahayaan, susun atur ruang, serta elemen deria seperti warna, aroma, dan muzik.
Dengan menumpukan kepada pelancongan pengalaman, pengusaha homestay perlu menaiktaraf dan mengoptimumkan ambience di tempat mereka. Ambience yang baik tidak hanya meningkatkan kepuasan pelancong tetapi juga dapat meningkatkan kesetiaan mereka terhadap homestay tersebut.
Pelancong yang berpuas hati dengan pengalaman mereka cenderung untuk kembali dan memberikan testimoni yang positif kepada pelancong lain sekali gus mempromosikan homestay tersebut secara percuma. Kelebihan lain yang diperoleh daripada penggunaan ambience yang efektif adalah kemampuan untuk meletakkan harga berdasarkan nilai dan keunikan homestay berbanding persaingan berdasarkan kepada harga. Ini membolehkan pemilik homestay untuk menarik segmen pasaran yang lebih khusus dan bersedia membayar untuk pengalaman yang unik.
Bagi mencapai kejayaan dalam mengintegrasikan ambience dalam homestay, pendidikan dan latihan kepada pengusaha homestay adalah penting. Mereka perlu memahami citarasa dan keperluan pelanggan serta mengikuti trend semasa dalam industri pelancongan.
Sebagai respons kepada keperluan untuk meningkatkan ambience dalam homestay, sebuah bengkel “Beautification Homestay” telah dijalankan dengan kerjasama antara University Malaysia Terengganu dan beberapa persatuan pelancongan tempatan seperti Kg Stay dan Homestay Terengganu, Kawasan Rukun Tetangga Teluk Ketapang, Persatuan Belia Kuala Nerus, dan Koperasi Homestay Teluk Ketapang yang dibiayai melalui skim dana ‘Knowledge and Technology Assimilation Grant Scheme’ (KTAGS) di bawah tadbir urus Pusat Pemindahan Ilmu, Jaringan Industri Masyarakat (PPIJIM) UMT.
Bengkel ini bertujuan untuk meningkatkan standard ambience dan kualiti 40 homestay di Negeri Terengganu. Pengusaha homestay telah di ajar untuk mengadopsi praktik-praktik terbaik dalam menaiktaraf pengalaman pelancong.
Kolaborasi yang kuat antara universiti, persatuan tempatan, dan pengusaha homestay adalah kunci keberhasilan dalam membangunkan industri pelancongan yang mapan dan inovatif. Melalui usaha bersama ini, industri homestay akan dapat terus berkembang serta memenuhi tuntutan pelancong masa kini yang semakin cerdas dan kritis terhadap pengalaman percutian mereka.
Dr. Noor Zatul Iffah Hussin
Pensyarah Kanan
Program Sarjana Muda Pelancongan
Fakulti Perniagaan Ekonomi dan Pembangunan Sosial,
Universiti Malaysia Terengganu