LOS ANGELES – Sebuah pesawat Boeing yang berlepas dari Los Angeles kehilangan roda, insiden terbaharu mengenai kekhuatiran tentang keselamatan pembuat pesawat itu.
United Airlines berkata, pesawat Boeing, B757-200 miliknya kehilangan roda selepas meninggalkan Lapangan Terbang Antarabangsa Los Angeles, namun selamat mendarat di destinasi yang dituju, Denver.
“Roda itu ditemui di Los Angeles dan kami sedang menyiasat apa yang menyebakan ia berlaku,” kata syarikat penerbangan itu dalam kenyataan.
Tiada kecederaan dilaporkan di darat atau 174 penumpang dan anak kapal dalam pesawat tersebut.
Ia merupakan insiden kedua sejak beberapa bulan lalu melibatkan pesawat Boeing yang dikendalikan United Airlines kehilangan roda selepas berlepas.
Pada Mac lalu, sebuah pesawat Boeing 737 yang menuju ke Jepun kehilangan roda sejurus berlepas dari San Francisco.
Pesawat tersebut melakukan pendaratan cemas.
Semalam, Boeing bersetuju untuk mengaku bersalah terhadap dua nahas pesawat 737 MAX membabitkan kehilangan nyawa dengan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (AS).
Boeing berhadapan dengan siasatan membabitkan pesawat B737 MAX pada tahun ini selepas panel pintu tercabut pada jenis pesawat sama milik Alaska Airlines ketika dalam penerbangan pada Januari lalu.
Seorang jurucakap Boeing dalam e-mel berkata, pesawat B757-200 yang berlepas semalam dihantar kepada syarikat penerbangan itu 30 tahun lalu, iaitu pada 1994.
Pengeluaran model B757 dihentikan pada 2004.
Pentadbiran Penerbangan Persekutuan sedang menyiasat insiden semalam – AFP