Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan . Foto SYADILA AMARI, 26 JUN 2024.

KUALA LUMPUR – Polis menjalankan siasatan berhubung akaun aplikasi TikTok palsu yang disyaki menggunakan gambar profil dan nama Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Ketua Polis Selangor, Komisioner Datuk Hussein Omar Khan berkata, pihaknya menerima laporan yang dilakukan Pejabat Istana Selangor, semalam.

“Siasatan mendapati, akaun TikTok tersebut bukan milik DYTM Raja Muda Selangor dan disahkan adalah palsu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut beliau, siasatan dilakukan di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan iaitu penyebaran berita palsu yang menyebabkan ketakutan atau kegentaran awam atau kepada mana-mana golongan awam.

Tambah beliau, jika disabitkan kesalahan pelaku boleh dihukum penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Hussein berkata, siasatan turut dikendalikan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya sekali.

Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Kanan Jenayah, Asisten Superintendan Md Anuar Md Amilah@Harun di talian 0192255597 bagi membantu siasatan. – MalaysiaGazette