Ahmad Fauwaz Fadzil

KUALA LUMPUR – Rang Undang-Undang (RUU) Mufti (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 2024 perlu berasaskan kepada perpaduan umat Islam dan perlu dirujuk kepada pihak yang mempunyai kepakaran mengenainya.

Pandangan itu dilontarkan Ahli Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Ahmad Fauwaz Fadzil dan memberitahu, langkah itu bagi mengelak pihak tertentu mengunakan ia sebagai isu politik.

Ini kerana setiap perkara perlu dibincangkan yang mana bertepatan dengan naratif negara Malaysia dan juga persetujuan Majlis Raja-Raja dan institusi Yang di-Pertuan Agong.

“Kita mengajak kepada perpaduanlah…apa jua isu walaupun kita bincang pasal RUU, pastikan perpaduan umat Islam itu terjamin dan matlamatnya adalah untuk memupuk perpaduan umat Islam, bukan untuk memecahkan dan sebagainya.

“Jadi, kita harap isu ini dibincang dengan baik di Parlimen dan juga dalam kalangan para ulama,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Konvensyen Akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah Peringkat Wilayah Persekutuan bertemakan ‘Merungkai Rahsia Di Sebalik Fenomena Akhir Zaman’ di Dewan Syarahan Masjid Negara hari ini.

Mengulas lanjut, Ahmad Fauwaz berkata, RUU berkenaan sememangnya memerlukan kajian banyak peringkat.

Bagaimanapun,  katanya, isi kandungan syarat dan sebagainya boleh dibahaskan dengan lebih terperinci.

“Tapi, bagus bila kita ada RUU ini…ia lebih governans sebab kita pastikan kepakaran…kalau tak ada itu mungkin (apa-apa yang berkaitan) diambil bukan pakar dan sebagainya tapi basicnya sangat-sangat baik RUU ini…kandungan RUU itu perlu dibahaskan,” ujarnya.

Pada 2 Julai lalu, RUU Mufti (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 2024 dibentangkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar bagi bacaan kali pertama di Dewan Rakyat.

Menerusi RUU sama, ia memperincikan mengenai penubuhan Jawatankuasa Fatwa Wilayah-Wilayah Persekutuan, Jawatankuasa Falak Syarie, Jawatankuasa Rukyah Hilal, Jawatankuasa Pengawasan Pengajaran Agama Islam dengan dipengerusikan mufti. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast