Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution pada Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Parlimen ke-15 di Dewan Rakyat, Parlimen, Kuala Lumpur. Foto JABATAN PENERANGAN MALAYSIA, 09 JULAI 2024.

KUALA LUMPUR – Rang Undang-Undang (RUU) Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) (Pindaan) 2024 ditangguhkan dan dirujuk ke Jawatankuasa Pilihan Khas (JPK) Parlimen.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, ia dibuat mengikut Peraturan Mesyuarat 62 untuk membolehkan RUU berkenaan diperhalusi semua pihak berkepentingan sebelum dimuktamadkan di Dewan Rakyat.

“Kami di Kementerian Dalam Negeri (KDN), Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dan polis, kami menyambut baik semua pandangan yang diberikan Yang Berhormat.

“Kita nak hasilkan RUU ini sebagai yang terbaik, bila kita lulus, kita nak laksanakan supaya hasilnya juga terbaik.

“Maka saya mohon mencadangkan berdasarkan kepada Peraturan Mesyuarat 62, saya berhasrat menangguhkan bacaan yang seterusnya bagi RUU Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 2024.

“Kementerian akan mendapatkan pandangan yang selanjutnya daripada Jawatankuasa Pilihan Khas (JPK) Parlimen Kesihatan dan Keselamatan,” katanya ketika menggulung perbahasan RUU Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 2024 pada sidang Dewan Rakyat, hari ini.

Saifuddin berkata, KDN akan menjemput semua pihak berkepentingan untuk memberikan pandangan dan memperhalusi RUU berkenaan sebelum dibuka kepada pengundian untuk diluluskan dalam Dewan Rakyat.

“Di situ nanti kita akan jemput semua pihak yang berkepentingan, ahli parlimen, pakar perundangan, NGO, semuanya kita selesaikan perhalusi lagi dan kemudian barulah kita buat keputusan di peringkat majlis,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast