Mohd Na'im Mokhtar

KUALA LUMPUR – Pihak-pihak tertentu dinasihatkan agar menggunakan pendekatan berhemah sekiranya mahu menegur para pemimpin negara dan kerajaan, jika tidak berpuas hati dalam sesuatu perkara.

Ini kerana, terdapat segelintir masyarakat sudah hilang nilai akhlak dalam membuat teguran kepada pemimpin sehingga ada yang sanggup mengeluarkan kata-kata kesat di laman-laman sosial tanpa pertimbangan yang waras, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.

“Kalau baca dalam sosial media hari ini, kita tengok penggunaan perkataan digunakan rakyat dan sebahagian daripada kita dalam sosial media (keterlaluan). (Mereka) itu adalah orang-orang berilmu.

“Sebagai contoh mereka menggunakan perkataan yang kita tak terfikir macam (mengeji) perdana menteri kita. Macam-macam bahasa yang digunakan terhadap beliau,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Konvensyen Akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah Peringkat Wilayah Persekutuan di Masjid Negara, di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datin Paduka Hakimah Mohd Yusoff, Pengarah JawiI, Datuk Mohd Ajib Ismail, dan Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Datuk Mohd Nizam Yahya.

Mengulas lanjut, Mohd Na’im berkata, biarpun berbeza pandangan politik namun, jangan sampai sesekali hilang adab hingga tidak tahu perbezaan sehingga mereak sanggup menggunakan perkataan di luar batasan.

“Termasuklah saya, apa yang berlaku, saya tengok dalam sosial media, menteri agama babi. Kenapa sampai kebencian itu ditanam, takkan benda kita buat sampai tahap tu rasa benci,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast