KUALA LUMPUR- Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) akan melantik juruaudit profesional pihak ketiga demi menjamin ketelusan audit ke atas HRD Corp.
Menteri Sumber Manusia, Steven Sim berkata, audit bebas akan meneliti segala proses, prosedur, dokumentasi dan kepatuhan terhadap undang-undang serta garis panduan dalam isu yang dibangkitkan dalam laporan Jabatan Audit Negara (JAN) dan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).
“KESUMA kini dalam proses perolehan untuk melantik juruaudit profesional pihak ketiga dan proses perolehan dijangka selesai selewat-lewatnya pada 31 Julai 2024.
“Tempoh masa audit bebas dan tempoh laporan akan dikeluarkan bakal ditentukan sebaik sahaja juruaudit telah dilantik,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah beliau, audit bebas tersebut akan berjalan seiring dengan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) dan mana-mana pihak berkuasa lain.
HRD Corp juga menurut beliau telah diarahkan untuk memberikan kerjasama sepenuhnya kepada semua pihak yang berkaitan.
Tambah Steven, satu pasukan petugas khas yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha KESUMA, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud telah ditubuhkan bagi memudahcara siasatan-siasatan yang sedang berjalan.
Pasukan itu juga diminta meneliti laporan- laporan JAN dan PAC, termasuklah juga hasil siasatan SPRM serta audit bebas.
Ia seterusnya akan memastikan tindakan susulan termasuk penambahbaikan dilaksanakan dengan sepenuhnya.- MalaysiaGazette