KUALA LUMPUR – Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) akan memperkenalkan kriteria baharu bagi syarikat pengendali ibadah umrah.
Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Khairul Firdaus Akbar Khan berkata, langkah itu perlu bagi memantau aktiviti promosi ibadah umrah yang dilihat tidak munasabah daripada segi harga yang dikenakan kepada pengguna.
“Banyak pengendali umrah ini cuba ntuk melakukan penipuan dengan menawarkan pakej yang lebih murah.
“Kriteria baharu akan kita umumkan pada Ogos ini merangkumi semua aspek supaya tidak berlaku kes yang tidak memuas hati para jemaah umrah kita pada masa akan datang,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Khairul Firdaus menjawab pertanyaan lisan tambahan Datuk Muhammad Bakhtiar Wan Chik (PH-Balik Pulau) yang ingin tahu pendirian MOTAC terhadap syarikat pengendali ibadah umrah yang menawarkan pakej pada harga yang tidak munasabah.
Sementara itu, Khairul Firdaus memberitahu, MOTAC tiada perancangan untuk mengendalikan ibadah haji daripada Tabung Haji (TH).
Katanya, ini kerana ia adalah dalam bidang kuasa Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).
“Tidak ada perancangan supaya haji dikendalikan oleh MOTAC dan tidak ada cadangan untuk umrah dikembalikan kepada TH untuk dikendalikan secara total,” katanya. – MalaysiaGazette