KUALA LUMPUR – Perjanjian Bersama Zon Ekonomi Khas Johor -Singapura (JS-SEZ) antara Malaysia dan Singapura dijangka ditandatangani pada September ini.
Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, ia bagi membolehkan insentif pakej fiskal yang terkandung dalam persetujuan itu dihantar ke Kementerian Kewangan dan dapat dibentangkan dalam Belanjawan 2025 pada Oktober ini.
Menurutnya, perincian Perjanjian Bersama itu yang dipersetujui kedua-dua negara akan melibatkan pembangunan JS-SEZ termasuk sektor yang akan diberi tumpuan, lokasi serta insentif yang ditawarkan.
“Kami menjangkakan Persetujuan Bersama akan dapat ditandatangani mengikut jadual pada September ini dan rundingan kedua-dua negara sudah di peringkat akhir untuk memuktamadkan perjanjian itu.
“Apabila perjanjian itu dimeterai, usaha pelaksanaan akan dimulakan di mana kita akan lihat lebih banyak butiran lanjut mengenai rancangan kepada bidang khusus dan pergerakan individu dan barangan.
“Keseluruhan idea adalah memastikan aliran bebas pergerakan individu dan barangan antara Singapura dan Johor,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media bersama Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi selepas menghadiri Forum Pelaburan SJ-SEZ di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Onn Hafiz berkata, semua butiran perjanjian masih dalam perbincangan dan hanya akan dimuktamadkan apabila semua maklum balas serta pandangan telah diperhalusi dan diambil kira.
Apa yang penting kata beliau, perjanjian yang dirangka akan memudahkan semua pihak untuk datang melabur untuk pembangunan SJ-SEZ.
Pada 11 Januari lalu, Memorandum Persefahaman JS-SEZ telah ditandatangani oleh bersama Menteri Perdagangan dan Industri Singapura di Johor Bahru, disaksikan Perdana Menteri kedua-dua negara.
Ketika ini, kerajaan negeri Johor sedang melaksanakan kajian JS-SEZ dan telah mengemukakan laporan interim kajian kepada Kementerian Ekonomi pada 29 Januari lalu, katanya.
Sementara itu, satu mesyuarat koordinasi JS-SEZ yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah diadakan pada 28 Februari lalu bagi mendapatkan pandangan dan maklum balas kementerian dan agensi Persekutuan sebelum dibincangkan dengan Singapura. – MalaysiaGazette