Isham akar umbi
Isham Jalil

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini hari ini dimaklumkan tentang keputusan Peguam Negara, Datuk Ahmad Terrirudin Mohd Salleh menolak permohonan maaf oleh bekas pemimpin UMNO, Datuk Isham Jalil atas kesalahan menghina mahkamah baru-baru ini.

Berikutan itu, prosiding hina mahkamah yang sedang dihadapi oleh Isham akan diteruskan.

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Noorin Badaruddin menetapkan 14 Oktober ini bagi prosiding kes dengan pendakwaan akan dilakukan terhadap bekas Ketua Penerangan UMNO itu.

Pada pagi ini, Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Mustafa P Kunyalam memaklumkan kepada mahkamah mengenai penolakan surat representasi Isham yang menawarkan permohonan maaf kepada Peguam Negara.

Isham berhadapan dengan pertuduhan menghina mahkamah susulan kenyataannya dalam satu temu bual bertajuk ‘Townhall For Justice: Keadilan Sebenarnya Untuk Siapa?’.

Rakaman itu didakwa menyentuh mengenai prosiding perbicaraan dan rayuan kes penyelewengan dana SRC International Sdn. Bhd dan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dihadapi oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang disiarkan di laman facebook “The Malaya Post” pada 30 September 2023.

Dalam afidavit sebelum ini, Isham didakwa telah mengeluarkan beberapa kenyataan mempersoalkan proses perbicaraan dan rayuan membabitkan Najib dalam kes SRC International dan 1MDB. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast