KUALA LUMPUR – Seorang lelaki warga asing kini diburu polis kerana disyaki telah mencabul remaja perempuan dalam kejadian di sebuah pusat beli-belah di Bandar Bestari, Klang.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoo Fong berkata, pihaknya telah menerima laporan daripada mangsa berusia 19 tahun sekitar 6.06 petang pada 7 Julai lalu.
“Hasil siasatan mendapati kejadian berlaku sebanyak dua kali iaitu pada 6 Julai sekitar 3.30 petang ketika mangsa bekerja di sebuah gerai di KSL Esplanade Mall.
“Suspek berusia 40-an dikenali sebagai Schin telah menghampiri mangsa dengan menyentuh dan meraba paha selain menyatakan ingin mengoyak seluar jeans remaja itu.
“Kemudian pada 7 Julai kira-kira 11 pagi, suspek yang sama datang dengan menyentuh bahu mangsa namun tangan suspek berjaya ditepis dan memarahi perbuatan suspek yang mencabul kehormatan mangsa,” jelasnya dalam kenyataan hari ini.
Susulan itu Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan telah membuka satu kertas siasatan di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan.
Polis menyeru agar orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian ini, untuk hadir ke balai polis berhampiran atau menghubungi IPD Klang Selatang di talian 03-33762222 bagi membantu siasatan. – MalaysiaGazette