Dr. Zaliha Mustafa

KUALA LUMPUR – Projek pembangunan Kampung Sungai Baru akan mula dilaksanakan pada suku pertama tahun hadapan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa berkata, majlis pecah tanah bagi projek berkenaan akan dilakukan pada akhir tahun ini.

“Jika tiada aral melintang, pecah tanah projek dijangka boleh diadakan pada penghujung tahun ini, manakala pelaksanaan pembinaan boleh dimulakan pada suku pertama 2025 setelah mendapat kelulusan perintah pembangunan (DO) daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL),” katanya pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Zaliha menyatakan demikian bagi menjawab soalan Datuk Seri Dr ShahidanKasim (PN-Arau) berhubung status terkini projek pembangunan semula kawasan di Kampung Sungai Baru serta tindakan yang diambil terhadap pemaju projek.

Mengulas lanjut, Zaliha berkata, pihaknya sudah bertemu dengan kedua-dua pihak di bangunan pejabat Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu (PKB) dan mendengar penjelasan serta harapan yang disuarakan.

Bagaimanapun katanya, setelah pertimbangan dibuat, beliau berpandangan kerajaan harus berlaku adil kepada pihak majoriti yang bersetuju dan akur sejak awal dengan projek pembangunan semula Kampung Sungai Baru.

“Antara asas-asas pertimbangan adalah apabila diperhatikan urusan pengambilan tanah yang dibuat adalah teratur, penilaian tanah oleh Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH) adalah adil berasaskan Jadual Pertama Akta Pengambilan tanah dan pemberian tambahan pampasan diberikan di antara 10 hingga 15 peratus oleh Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian (JKPTG).

“Malahan golongan minoriti sudah diberikan penempatan sementara, dan juga pernah diberikan peluang yang sama dengan golongan majoriti, iaitu balasan rumah dengan keluasan yang lebih besar, selesa, dan nilai jaminan (guaranteed value) yang akan meningkat pada masa akan datang melalui perjanjian dengan pihak pemaju,” katanya.

Dr Zaliha turut berkata, projek pembangunan semula kawasan tersebut tertangguh sehinggakan diwarisi beberapa pentadbiran kerajaan daripada latar belakang (parti politik) yang berbeza.

Katanya, projek pembangunan semula itu memerlukan tekad politik jika mahu diselesaikan dengan segera.

“Hala tuju kepada projek ini memerlukan keputusan yang objektif, bukannya keputusan populis semata-mata, sebagaimana yang sering dicanangkan oleh mantan yang lain.

“Dalam masa enam bulan sejak saya menerajui Wilayah Persekutuan, projek pembangunan semula yang sudah terbengkalai menginjak ke tahun kelapan, kini akan bakal dapat dimulakan sedikit masa lagi,” katanya.

Dalam pada itu, Zaliha berkata, jumlah pampasan yang dibayar bagi pampasan rumah pangsa adalah sebanyak RM198,000 hingga RM350,000 manakala bagi rumah teres adalah antara RM800,000 hingga RM2.9 juta yang dibuat oleh agensi yang sah.

Zaliha berkata, Kampong Bharu akan kekal sebagai simbol kemajuan orang Melayu di tengah-tengah bandar raya Kuala Lumpur dan akan menjadi ikon komersial orang Melayu pada masa hadapan.

“Bagi tujuan ini, saya akan memastikan pelaksanaan Pelan Induk Pembangunan Kampong Bharu 2040 akan dilaksanakan secara telus dan mampan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast