Pasukan penyelenggaraan MAHB giat melakukan kerja-kerja pembaikan Foto: MAHB

KUALA LUMPUR- Siling ruang istirahat Gate G6 di Terminal 1 KLIA ditutup sementara sehingga jam 12 tengahari bagi kerja-kerja pembaikan segera selepas mengalami sedikit kebocoran akibat hujan lebat luar biasa pagi tadi.

Malaysia Airports Holdings Bhd. (MAHB) dalam kenyataan berkata, kejadian yang berlaku 8.11 pagi itu berjaya ditangani dengan baik oleh pasukan penyelenggara yang berada di sana.

“Sementara itu, operasi penerbangan tidak terjejas disebabkan insiden itu.

“Penerbangan seterusnya yang dijadualkan berlepas dari ruang berkenaan telah dipindahkan ke pintu lain.

“Kami sedang bekerjasama rapat dengn rakan-rakan daripada syarikat penerbangan terlibat untuk memastikan semua penumpang yang terjejas dimaklumkan berhubung perubahan tersebut,” katanya.

Tambah MAHB, pasukan penyelenggaraan syarikat itu sedang giat melakukan kerja-kerja pembaikan kebocoran dan melaksanakan pemeriksaan teliti bagi mengelakkan kejadian sama berulang.

“Kami ingin memberi jaminan kepada orang ramai bahawa integriti infrastruktur terminal ini kekal sebagai keutamaan Malaysia Airports.

“Selain itu, kami juga akan membuat penilaian dan menambah baik kemampanan kemudahan-kemudahan yang ada supaya dapat bertahan dalam cuaca ekstrem.- MalaysiaGazette