Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

KUALA LUMPUR- Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengambil tanggung jawab penuh terhadap insiden beliau diumumkan pemenang tempat ketiga sebuah acara triathlon, baru-baru ini.

Selepas beberapa jam dituduh menipu kemenangannya, bekas Presiden MUDA itu segera mendapatkan penjelasan daripada penganjur dan wakil teknikal acara berkenaan.

Katanya, hasil penelitian terhadap data-data tersebut, beliau dan penganjur bersetuju untuk menukar kemenangan tempat ketiga kepada “tidak menghabiskan larian” (did not finish/DNF).

“Ini adalah pecahan paling terperinci yang menunjukkan data  pusingan demi pusingan di setiap checkpoint yang saya terima daripada pasukan teknikal.

“Selepas melakukan rujukan silang dengan data daripada jam saya, jelas menunjukkan ada kesilapan.

“Dengan itu, saya mengambil tanggung jawab penuh terhadap perkara ini.

“Terdapat kesilapan yang tidak disengajakan di pihak saya,” katanya menerusi hantaran di Instagram hari ini.

Dalam hantaran yang sama, Syed Saddiq turut memohon maaf kepada komuniti trialthon berhubung insiden tersebut.

Baru-baru ini, Syed Saddiq memuat naik hantaran di Instagram yang menunjukkan beliau sedang memegang trofi tempat ketiga dalam acara Trialthon 2024 di antara 6 hingga 7 Julai lalu.

Seramai 113 peserta menyertai acara berkenaan.- MalaysiaGazette