KUALA LUMPUR – Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) akan menjenamakan semula program Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) dengan mewujudkan Institut Latihan Jabatan Tenaga Manusia (ILJTM) Premium.
Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, ketika Jabatan Tenaga Manusia (JTM) sedang merancang gerak kerja bagi mewujudkan institut latihan itu sebagai inisiatif untuk menawarkan program yang lebih fleksibel.
Kata beliau, penubuhan ILJTM juga akan memenuhi keperluan industri dengan bekerjasama syarikat berimpak tinggi dalam memperkasakan latihan TVET negara.
“JTM melalui Pelan Strategik JTM 2021-2025 sudah menyenaraikan beberapa sektor utama untuk dibangunkan bersama pihak industri.
“Antara teknologi yang telah dikenal pasti ialah Automasi Pertanian di Institut Latihan Perindustrian (ILP) Kangar bagi sektor pertanian, Tenaga Boleh Baharu seperti Smart Energy di ILP Kepala Batas dan Hidrogen di ILP Miri bagi sektor utiliti; Pengangkutan Rel di ILP Kuantan.
“JTM sudah memulakan penawaran program bagi sektor pengangkutan membabitkan Teknologi Kenderaan Elektrik dan dron,” katanya pada sesi jawab lisan di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.
Beliau menjawab soalan Dr Kelvin Yii Lee Wuen (PH-Bandar Kuching) berhubung rancangan kementerian untuk memperkasakan ILP di seluruh negara untuk memastikan tenaga kerja kita yang dilatih untuk memenuhi keperluan industri termasuk industri berkemahiran tinggi.
Abdul Rahman menambah, Kesuma melalui JTM menetapkan hanya satu institut peneraju yang akan membangunkan setiap teknologi baharu yang dikenal pasti bagi mengelakkan pertindihan pelaksanaan program.
Menurut beliau, ia bagi memastikan agihan peruntukan dan pembangunan tenaga pengajar pakar dapat dibuat dengan lebih berkesan.
“Untuk itu, JTM menetapkan 18 institut daripada 32 ILJTM untuk melaksanakan program pembangunan teknologi baharu mengikut sektor masing-masing dan pembangunan kepakaran pengajar adalah berdasarkan 10 kluster teknologi yang ditetapkan.
“Pertindihan kursus di ILJTM disebabkan terdapat keperluan mengikut lokaliti dan bagi menampung jumlah permohonan yang tinggi. Ia juga sebagai program persediaan ke program di peringkat yang lebih tinggi,” katanya.
Abdul Rahman berkata, JTM juga sudah melaksanakan kajian rasionalisasi program latihan kemahiran di JTM dan menyusun semula program yang ditawarkan serta peringkat pengajian bagi mengoptimumkan sumber yang ada.
“Contohnya ILP Selandar yang mempunyai kadar permohonan yang rendah, ditransformasikan kepada ILJTM TVET Tahfiz mulai 2024,” katanya. – MalaysiaGazette