Orang ramai duduk di belakang pagar sambil melihat ketibaan mangsa yang cedera atau terbunuh dalam pengeboman Israel berhampiran Khan Yunis ke hospital Nasser di bandar selatan Gaza pada 9 Julai 2024, di tengah-tengah konflik berterusan antara Israel dan kumpulan Hamas. Foto AFP

GAZA – Tentera Israel mengarahkan semua penduduk Kota Gaza untuk berpindah ke  tengah Semenanjung Gaza berikutan serangan sengit di utara.

Risalah yang dijatuhkan oleh pesawat mengarahkan “semua orang di Kota Gaza” meninggalkan kawasan tersebut yang disifatkan sebagai “zon tempur berbahaya” melalui laluan selamat yang ditetapkan,

Penduduk Gaza yang kini menjadi pelarian diarah melalui dua jalan yang menuju ke tempat perlindungan di Deir al-Balah dan al-Zawaida.

Ini merupakan kali kedua sejak perang meletus, penduduk di Kota Gaza diarah berpindah.

Sejak dua minggu lalu, tentera Israel telah memasuki semula beberapa daerah kerana percaya pejuang Hamas dan Jihad Islam Palestin (PIJ) telah berkumpul semula di situ sejak awal tahun ini.

Hamas mendakwa, serangan baharu Israel di bandar itu mengancam untuk menggagalkan rundingan berhubung kemungkinan gencatan senjata dan perjanjian pembebasan tebusan, yang disambung semula pada hari Rabu di Qatar.

Rundingan itu dihadiri oleh ketua perisikan Mesir, Amerika Syarikat dan Israel, serta Perdana Menteri Qatar.

Pegawai tertinggi Hamas, Hossam Badran memberitahu AFP bahawa Israel “sedang cuba menekan rundingan dengan mempergiatkan operasi pengeboman, pemindahan dan melakukan pembunuhan beramai-ramai”.

Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu menekankan komitmen Israel terhadap perjanjian selagi “garis merah Israel dipelihara”.

Dianggarkan terdapat lebih suku daripada satu juta orang masih tinggal di bandar Gaza.

“Saya tidak akan meninggalkan Gaza (Kota). Saya tidak akan membuat kesilapan bodoh yang dilakukan oleh orang lain. Peluru berpandu Israel tidak membezakan antara utara dan selatan.

“Jika kematian adalah nasib saya dan nasib anak-anak saya, kami akan mati dengan penghormatan dan maruah di rumah kami,” kata seorang penduduk, Ibrahim al-Barbari.

Bulan Sabit Merah Palestin berkata, pihaknya telah menerima panggilan daripada beberapa penduduk yang tidak dapat meninggalkan rumah mereka kerana intensiti pengeboman.

“Maklumat yang datang dari Kota Gaza menunjukkan penduduk hidup dalam keadaan tragis. Pasukan pendudukan (Israel) terus menyerang daerah kediaman, dan memindahkan orang dari rumah dan tempat perlindungan mereka,” katanya.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan awal Rabu, Pasukan Pertahanan Israel (IDF) berkata, tenteranya telah “menjalankan operasi menentang keganasan” semalaman terhadap Hamas dan pejuang PIJ yang beroperasi di dalam ibu pejabat agensi PBB untuk pelarian Palestin (Unrwa) di Gaza City .

Tentera telah membuka “koridor yang ditetapkan untuk memudahkan pemindahan orang awam” dari kawasan itu sebelum mereka memasuki struktur dan “menghapuskan pengganas dalam pertempuran jarak dekat”, tambahnya.

IDF juga berkata, ia telah membunuh berpuluh-puluh pejuang di daerah Shejaiya timur Kota Gaza dan membongkar laluan terowong bawah tanah sepanjang hari lalu.

Bercakap di Parlimen Israel pada hari Rabu, Menteri Pertahanan Yoav Gallant mendakwa 60 peratus pejuang Hamas telah terbunuh atau cedera sejak serangan

Pada hari Selasa, Pejabat Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu berkata, ia “terkejut” dengan arahan IDF supaya penduduk berpindah ke kawasan operasi ketenteraan Israel, yang mana orang awam terus terbunuh dan cedera.

Ia juga memberi amaran kawasan Deir al-Balah sudah terlalu sesak dengan penduduk Palestin yang dipindahkan dari kawasan lain di Gaza dan terdapat sedikit infrastruktur dan akses terhad kepada bantuan kemanusiaan. – Agensi

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast