KUALA LUMPUR – Lawatan rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke beberapa negara telah berjaya menjana nilai potensi pelaburan berjumlah RM353.6 bilion pada 2023 dan RM77.58 bilion dari Januari sehingga Mei 2024.
Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa, Perdana Menteri terlibat dalam 31 lawatan rasmi dan kerja ke 19 negara dari November 2022 sehingga Mei lalu.
“Antara negara yang dilawati Perdana Menteri dan delegasi kerajaan ialah Arab Saudi, Australia, Brunei, Emiriah Arab Bersatu, Filipina, Indonesia, Jepun, Jerman, Kazakhstan, Kemboja, Mesir dan Laos.
“Selain itu, China, Singapura, Thailand, Turkiye, Uzbekistan, Vietnam dan Qatar. Ini termasuk menghadiri persidangan dan mesyuarat berjadual di peringkat antarabangsa yang turut dihadiri oleh pemimpin-pemimpin dunia,” katanya dalam jawapan bertulis yang disiarkan menerusi laman sesawang Parlimen di sini hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Muhammad Fawwaz Mohamad Jan (PN-Permatang Pauh) yang ingin tahu perincian lawatan rasmi Perdana Menteri dan jumlah pelaburan yang berjaya dibawa ke Malaysia.
“Sebagai contoh, hubungan diplomatik dan kerjasama erat Malaysia-China yang kini mencecah 50 tahun telah dizahirkan menerusi pemeteraian perjanjian persefahaman serta persepakatan dalam pelbagai sektor ekonomi, akan memberi kesan positif terhadap pembangunan ekonomi negara,” katanya. – MalaysiaGazette