KUALA LUMPUR – Seorang penghantar makanan ditahan polis selepas tular aksi menunggang motosikal secara berbahaya di Jalan Persiaran Kemajuan, Bandar Baru Bangi, Selangor.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, pihaknya telah mengesan video tular memaparkan aksi suspek pada 10 Julai lalu sekitar jam 7.24 petang.
“Bertindak atas rakaman video itu, polis telah menahan lelaki berusia 22 tahun itu di Balai Polis Trafik Kajang pada jam 1.30 pagi tadi.
“Susulan itu, suspek direman sehari bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. ,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut mengenai tujuan rakaman aksi berbahaya itu, Naazron memaklumkan ia masih dalam siasatan.
Susulan itu, beliau menggesa mana-mana pihak yang mempunyai maklumat lanjut diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Sarjan Khairul Ismail ditalian 011- 3321 0917.
Terdahulu, tular rakaman video berdurasi 17 saat memaparkan seorang penunggang motosikal membuat ‘pacak’ dengan sebelah kaki di atas tempat duduk di Jalan Persiaran Kemajuan, Bandar Baru Bangi. – MalaysiaGazette