KUALA LUMPUR – Sebanyak 50 laporan telah dibuat kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) sehingga 31 Mei lalu mengenai aduan menghendap termasuk empat membabitkan pelaku wanita.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri, berkata, daripada jumlah laporan, pendakwaan pertama bagi kesalahan itu dibuat pada Ogos tahun lalu.
Beliau berkata, 43 daripada kes membabitkan pelaku lelaki, empat laporan dibuat terhadap empat wanita manakala jantina tiga lagi pelaku tidak dapat dikenal pasti.
“Ada jantina dan umur pelaku tidak dapat dikenal pasti kerana pelbagai faktor antaranya kerana perlakuan jenayah menghendap dilakukan secara dalam talian.
“Bagi pecahan pelaku mengikut umur, 30 orang berumur 18 tahun dan ke atas, 20 aduan tidak diketahui umur dan tiada pelaku berumur bawah 18 tahun,” katanya dalam jawapan bertulis di laman sesawang Parlimen, hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Mumtaz Md Nawi (PN-Tumpat) yang ingin tahu kajian dan statistik mengikut jantina, demografi dan umur pelaku Akta Anti-Menghendap dan Akta Gangguan Seksual.
Nancy menambah, Akta Antigangguan Seksual 2022 (Akta 840) dikuatkuasakan sepenuhnya pada 8 Mac lalu dan sehingga 8 Jun tahun ini, sebanyak empat aduan gangguan seksual diterima oleh Tribunal bagi Antigangguan Seksual.
“Pecahan data menunjukkan bagi keempat-empat aduan, pelaku atau respondennya adalah lelaki berumur 18 tahun ke atas.
“Sejak pengoperasian Tribunal bagi Antigangguan Seksual, sesi pendengaran kes kali pertama dibuat pada 23 Mei 2024,” katanya. – MalaysiaGazette